GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kota Bharu: Seorang buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seksyen di sini, hari ini terhadap pertuduhan menyebabkan kematian anak sepupunya dengan melakukan perbuatan cuai dan memiliki selaras senapang patah serta empat butir peluru hidup pada 12 Mei lalu.

Nik Nazli Nik Mohd Mustapha, 39, didakwa menyebabkan kematian Mohamad Hasmizi Zudin Che Hasmi, 26, di Kompartment 42, Hutan Simpan Kekal Ulu Sat, Kelantan Timur, Machang antara 2 pagi hingga 3 pagi.

Dia dituduh mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa memiliki selaras senapang patah dan empat butir peluru hidup dengan cara menyalahi undang-undang di kaki bukit belakang Pejabat Tapak Semaian Jabatan Perhutanan, Bukit Batu Tapong, Machang, pada 1 tengah hari pada tarikh berkenaan.

Pertuduhan mengikut Seksyen 8 Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan juga sebatan tidak kurang daripada enam kali, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli menetapkan 25 Jun hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mei 2023 @ 1:42 PM