FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan tohmahan oleh seorang bekas menteri mendakwa badan itu membuat pertuduhan tanpa asas dan bermotifkan politik.

SPRM dalam kenyataan hari ini berkata, tohmahan dibuat seorang bekas menteri berkenaan menjejaskan nama baik dan imej suruhanjaya itu.

"SPRM menegaskan semua siasatan yang dijalankan berdasarkan maklumat serta bukti-bukti sahih yang diperoleh oleh suruhanjaya ini.

"Tohmahan oleh seorang bekas menteri yang mengatakan SPRM sengaja mengada-adakan siasatan bagi tujuan pertuduhan untuk mencemarkan namanya adalah tidak benar sama sekali," katanya.

Menurutnya, setiap pertuduhan dijalankan dengan penemuan elemen kesalahan di bawah Akta SPRM 2009.

"Kemudian (kertas siasatan) dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk kajian dan pertimbangan sewajarnya.

"Setiap tindakan sama ada semasa proses siasatan atau selepas pertuduhan dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang.

"Tindakan diambil berdasarkan prinsip bebas, telus dan profesional serta tidak sesekali bertujuan menekan mana-mana individu tertentu atas faktor politik atau seumpamanya," katanya.

Terdahulu, media melaporkan bekas menteri kanan Hamzah Zainuddin berasa pelik selepas namanya disebut dalam kertas siasatan SPRM membabitkan projek Kementerian Dalam Negeri (KDN) ketika pimpinannya.

Hamzah dipetik berkata, beliau tiada pembabitan di dalam syarikat terbabit dan menegaskan tindakan itu diambil SPRM untuk merosakkan nama baik parti.

Beliau dilapor berkata, pertuduhan itu jelas bertujuan untuk merosakkan nama baiknya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Perikatan Nasional (PN).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mei 2023 @ 5:33 PM