GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyifatkan kenyataan bahawa agensi berkenaan dijadikan 'senjata politik' adalah tidak berasas.

SPRM dalam satu kenyataan berkata, dakwaan daripada gabungan beberapa parti politik itu juga adalah tidak bertanggungjawab.

"SPRM adalah sebuah agensi penyiasatan yang bebas dan sentiasa memastikan tindakan dilakukan berlandaskan undang-undang tanpa membabitkan kecenderungan politik.

"Tohmahan itu adalah tidak berasas serta tidak bertanggungjawab kerana boleh menjejaskan imej SPRM. Ia juga sekali gus menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat terhadap SPRM," katanya.

Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada tindakan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH), yang mengingatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) supaya tidak menggunakan agensi kerajaan sebagai 'senjata politik' dengan tujuan menambah sokongan.

Menurut PH, persaingan politik di negara ini wajib berlaku dalam suasana yang sihat, dengan amalan demokrasi berteraskan perlembagaan persekutuan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mac 2021 @ 3:16 PM