FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan pembabitan dua pegawai kanannya dalam isu rasuah dan salah guna kuasa membabitkan syarikat korporat.

SPRM dalam kenyataan berkata, tohmahan yang dibuat sebuah blog menggunakan identiti palsu kononnya dua pegawai kanan SPRM sebagai dalang dalam isu rasuah adalah tidak benar.

"Kedua-dua pegawai SPRM berkenaan sudah dipanggil untuk memberikan penjelasan dan mereka seterusnya membuat laporan polis untuk menyangkal tohmahan berkenaan.

"Sehubungan itu, SPRM yakin perkara berkenaan adalah tohmahan liar serta tidak bertanggungjawab yang sengaja dilemparkan kepada pegawai bagi menimbulkan persepsi negatif terhadap SPRM.

"Namun begitu, sekiranya wujudnya bukti, pihak berkaitan harus tampil membuat aduan atau laporan kepada pihak penguat kuasa dan bukan membuat tohmahan menerusi media sosial yang berselindung di sebalik identiti palsu," katanya.

Menurutnya, SPRM tidak membuka kertas siasatan sewenang-wenangnya tanpa bukti dan fakta.

"Setiap siasatan yang dijalankan adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) berlandaskan undang-undang yang diperuntukkan serta dipantau oleh lima badan pemantau bebas.

"Seterusnya, mengikut prinsip pengasingan kuasa, Pejabat Peguam Negara berfungsi sebagai mekanisme semak dan imbang bagi memastikan hanya kes-kes yang mempunyai bukti dan fakta kukuh diberikan izin untuk mendakwa mengikut budi bicaranya.

"Dalam pada itu juga, SPRM juga tidak akan tunduk kepada tekanan oleh mana-mana pihak untuk mengalihkan perhatian daripada kes-kes rasuah dan penyelewengan yang sedang giat disiasat ketika ini dengan pelbagai tohmahan yang sengaja direka-reka," katanya.

Sebelum ini, blog dikenali 'The Corporate Secret' mendedahkan dua nama pegawai kanan SPRM yang didakwa terbabit dalam skandal syarikat korporat berkenaan.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut mengesahkan pihaknya sudah menerima laporan polis dan sudah membuka kertas siasatan berkaitan pecah amanah oleh ejen pada 25 Mei 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mac 2023 @ 3:56 PM