Abdul Wahab Mat Yasin (tengah) ketika sidang media pada Majlis Aidilfitri JBPM Pahang di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Indera Mahkota. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
Abdul Wahab Mat Yasin (tengah) ketika sidang media pada Majlis Aidilfitri JBPM Pahang di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Indera Mahkota. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Kuala Lumpur: Sebanyak 4,106 laporan kes pembakaran terbuka diterima di seluruh negara sejak Januari sehingga semalam.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata, ia membabitkan kes kebakaran sampah, lalang, kebun, ladang dan hutan.

"Pembakaran terbuka membabitkan 118 ladang atau kebun, hutan (290), belukar (2,956), sampah (742) sepanjang tahun ini.

"Bagi tahun lalu sebanyak 9,596 dicatatkan manakala pada 2021 (1,024), tahun 2020 (710), dan tahun 2019 (2,285) kes.

"Kes terbanyak dicatatkan tahun ini di Kedah sebanyak 784 kes, Selangor (532), Johor (506) dan Perak (317)," katanya kepada Harian Metro ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, pihaknya akan mengaktifkan Bilik Gerakan Jerebu dan Pembakaran Terbuka sekiranya laporan kes kebakaran terbuka melebihi paras purata.

Katanya, langkah itu sebagai salah satu persiapan bagi menghadapi kebakaran terbuka dan jerebu pada musim kemarau.

"Tahun lalu JBPM mengesan sebanyak 406 titik panas di seluruh negara di mana Kedah mencatat jumlah tertinggi 119, dan Johor (45).

"Pada masa sama, seramai 12,957 anggota dan pegawai JBPM siap siaga untuk dikerahkan bagi menghadapi musim kemarau dan kebakaran hutan di seluruh negara.

"Di samping itu seramai 2,061 Pegawai Bomba Bantuan (PBB) dan 13,559 Pegawai Bomba Sukarela (PPS) turut bersedia untuk digerakkan.

"JBPM turut bersedia dari segi logistik dengan menggerakkan antaranya lima helikopter, 69 tangki air, 399 jentera bomba, 480 kenderaan utiliti dan pelbagai kelengkapan pemadaman api," katanya .

Sehubungan itu, orang ramai diingatkan supaya tidak menjalankan aktiviti pembakaran secara terbuka dan melaporkan berkenaan aktiviti itu kepada pihak berkuasa jika mempunyai maklumat berkaitan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mei 2023 @ 4:41 PM