GAMBAR hiasan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
GAMBAR hiasan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu mengenal pasti 44 kawasan yang berisiko berlakunya pembakaran terbuka akibat cuaca panas.

Pengarahnya, Hassan As'ari Omar berkata, ia membabitkan kawasan hutan gambut, kebun, belukar dan kawasan lalang di seluruh Terengganu kecuali daerah Hulu Terengganu.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, Kemaman merekodkan jumlah kawasan berisiko berlakunya kebakaran terbuka tertinggi iaitu 16 lokasi diikuti Dungun (sembilan lokasi) dan Besut (lima lokasi).

"Di Marang dan Setiu, masing-masing terdapat empat lokasi manakala tiga di Kuala Nerus dan dua di Kuala Terengganu.

"Kita bersedia menghadapi sebarang insiden kebakaran walaupun keadaan cuaca ketika ini tidak panas berbanding pada Mac dan April lalu.

"Kita sentiasa membuat pemantauan di kawasan yang mempunyai banyak kawasan tanah gambut dan lalang yang berisiko berlaku kebakaran terbuka," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Hassan As'ari berkata, orang ramai terutama peladang atau pekebun diingatkan supaya tidak melakukan aktiviti pembakaran secara terbuka yang boleh menyebabkan jerebu.

Katanya, masyarakat juga dinasihatkan supaya menghentikan seketika sebarang aktiviti yang boleh menyebabkan kebakaran selain meminta kerjasama masyarakat untuk melaporkan segera kepada bomba atau agensi berkaitan sekiranya berlaku kebakaran secara terbuka tanpa pemantauan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mei 2023 @ 3:47 PM