API marak dalam kebakaran hutan kawasan berbukit berhampiran Kampung Tambalugu malam ini. FOTO Johary Indan
API marak dalam kebakaran hutan kawasan berbukit berhampiran Kampung Tambalugu malam ini. FOTO Johary Indan
Johary Indan


Tuaran: Cuaca panas dan kering yang melanda ketika ini, menjadi punca berlaku banyak kebakaran hutan dan belukar di daerah ini.

Tinjauan mendapati kawasan hutan berhampiran Kampung Tambalugu dan Bakut mula terbakar sejak tengah hari tadi dan api yang semakin membesar merebak di perkampungan berhampiran.

Lebih membimbangkan lokasi kebakaran terlalu hampir dengan rumah penduduk, menyebabkan penghuni mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan harta benda mereka musnah.

Kawasan Tanah Perkuburan Islam Kampung Tambalugu juga terjejas oleh kebakaran petang tadi.

Turut terjejas oleh kebakaran ialah kebun getah dan buah-buahan milik penduduk di daerah ini, Tamparuli dan Kiulu.

Kawasan yang ditumbuhi rumput panjang dan lalang kering seperti sawah terbiar juga banyak yang terbakar, sama ada kejadian itu disengajakan atau terbakar sendiri.

Kejadian itu menyebabkan daerah ini diselubungi asap tebal sejak beberapa hari lalu.

Sementara itu, kebakaran yang memusnah hutan di Kampung Bantayan, Rambai dan Topokon, Tamparuli mula reda.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Tuaran sentiasa berada di beberapa lokasi kebakaran itu untuk memastikan api marak tidak merebak ke kawasan lain terutama perkampungan yang ada penduduk.

Dalam perkembangan berkaitan, JBPM Sabah merekodkan lebih 500 kes kebakaran kebun, ladang, hutan, belukar dan lalang sejak Januari lalu.

Antara punca kebakaran itu berlaku kerana panas yang melampau disebabkan kemarau dan pembakaran hutan yang disengajakan untuk pembersihan kebun.

Sehubungan itu, JBPM menasihatkan orang ramai tidak menyebabkan atau memulakan sebarang pembakaran terbuka ketika musim panas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mac 2024 @ 10:23 PM