KAPASITI air di tiga empangan di Pulau Pinang dipaparkan di laman web PBAPP.
KAPASITI air di tiga empangan di Pulau Pinang dipaparkan di laman web PBAPP.
Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Kapasiti air di tiga empangan di Pulau Pinang kini berada pada paras rendah berikutan taburan hujan rendah di negeri ini.

Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dalam kenyataan memaklumkan paras air Empangan Air Itam merekodkan bacaan kapasiti 84.7 peratus, Empangan Teluk Bahang, 64.1 peratus dan Empangan Mengkuang, 87.2 peratus.

"Faktor penyumbang kapasiti efektif empangan yang rendah khususnya di Empangan Teluk Bahang berpunca daripada krisis bekalan air di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua Sungai Dua.

"Masalah gangguan air itu memerlukan PBAPP memaksimumkan pelepasan air mentah dari Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang dengan tahap optimum empangan berkenaan sepatutnya melebihi 90 peratus," katanya di sini, hari ini.

Berikutan itu, PBAPP meminta rakyat di negeri ini agar menggunakan air secara berhemat selain menggesa semua pengguna air domestik memastikan rumah dan premis mereka dilengkapi tangki simpanan air untuk kegunaan semasa kecemasan.

Katanya, pengguna air bukan domestik harus memasang tangki simpanan untuk kegunaan 48 jam di premis mereka bagi mematuhi Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 dan Garis Panduan Teknikal Seragam Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN UTG).

Menurut PBAPP, bagi memenuhi permintaan air semasa termasuk ketika Tahun Baharu Cina yang akan datang perbadanan tersebut akan mengoptimumkan pengeluaran air terawat di LRA Sungai Dua dan mengepam lebih banyak air terawat ke bahagian pulau dan Seberang Perai.

"PBAPP bersedia untuk melepaskan lebih banyak air daripada Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang sambil memantau rapi paras air empangan untuk sebarang kejadian yang tidak diduga.

"PBAPP juga tidak akan menjadualkan sebarang kerja paip (gangguan air berjadual) sehingga selepas Tahun Baharu Cina," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2023 @ 7:53 PM