DATUK Hasanuddin Mohd Yunus. FOTO arkib NSTP
DATUK Hasanuddin Mohd Yunus. FOTO arkib NSTP
Samadi Ahmad


Putrajaya: Bekas Ahli Parlimen Hulu Langat, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus dilantik sebagai Yang Dipertua (YDP) Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) baharu, berkuat kuasa 3 Mei lalu.

Yadim dalam kenyataan hari ini berkata, pelantikan Hasanuddin itu dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, Hasanuddin berpengalaman luas dalam bidang pengurusan dan hal ehwal masyarakat, sesuai dengan gerak kerja Yadim yang membabitkan dakwah kepada orang ramai.

"Sebelum ini, beliau juga aktif dalam aktiviti kemasyarakatan selain terbabit dengan aktiviti badan bukan kerajaan (NGO).

"Pelantikan Hasanuddin ini bagi menggantikan YDP Yadim sebelum ini, Nasruddin Hassan," katanya.

Kenyataan itu turut memaklumkan, Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan dan Komunikasi, Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), Prof Madya Dr Adi Anuar Azmin @Che Wan dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua badan dakwah itu.

Bersesuaian dengan pembabitan Adi Anuar dalam bidang pendidikan, lantikan ini dapat membantu Yadim dalam melahirkan daie muda bagi menjalankan aktiviti dakwah di negara ini.

"Yadim percaya dengan pengalaman dan kepimpinan dua tokoh ini akan dapat meningkatkan badan ini sebagai badan dakwah bagi menyebar nilai nilai murni Islam dengan Rahmah sesuai dengan aspirasi Malaysia sebagai sebuah negara Madani," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mei 2023 @ 12:51 PM