YAYASAN Dakwah Islamiah Malaysia.
YAYASAN Dakwah Islamiah Malaysia.
Siti A’isyah Sukaimi


TUDUHAN yang mengatakan kepimpinan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) yang baharu menggunakan dana Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk membiayai kos operasi yayasan berkenaan adalah amat tidak berasas sama sekali.

Menurut kenyataan YADIM, hal ini mungkin berbeza dengan Felo Muda Dakwah (FMD) yang diasaskan oleh kepimpinan YADIM sebelum ini dan menelan belanja lebih RM11 juta sejak dilaksanakan.

“FMD yang diwujudkan di luar daripada perjawatan sebenar YADIM kini terpaksa dibiayai menggunakan dana sumbangan MAIWP kepada yayasan ini yang sepatutnya boleh digunakan bagi aktiviti dakwah dan pembangunan Islam lain.

“Dengan kos terkini lebih daripada RM1.74 juta bagi membiayai 30 FMD (anggaran RM58,000 dibelanjakan untuk melahirkan seorang FMD), yang dari segi peranannya mempunyai fungsi politik kepartian seperti tular dalam beberapa siri kempen pilihan raya, adalah satu kewajipan bagi kepimpinan YADIM baharu untuk memperbaiki satu contoh kelemahan amat nyata ini,” katanya, hari ini.

Pada masa sama, katanya, sebagai sebuah yayasan yang ditubuhkan dan mendapat dana secara langsung daripada kerajaan, sememangnya YADIM mempunyai keunikan dari segi pengaruh dan operasinya.

“Dalam masa YADIM sebagai sebuah entiti yang terikat dengan tanggungjawab dasar kerajaan, ia bebas untuk beroperasi sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dan tidak tertakluk dengan proses birokrasi biasa sebuah jabatan atau agensi kerajaan.

“Hal ini mendedahkan YADIM kepada pelbagai risiko penyalahgunaan dan penyelewengan untuk sekian lama, dan dalam era Malaysia baharu kini, YADIM tidak terlepas daripada tuntutan untuk memperbaiki kelemahan selama ini,” katanya.

Justeru, katanya, pelantikan Nik Omar Nik Abdul Aziz sebagai Yang Dipertua (YDP) YADIM baharu oleh Perdana Menteri dilihat sebagai keseriusan kerajaan meletakkan tokoh muda berkaliber bagi mengemudi sebuah yayasan yang sangat strategik dalam hal ehwal agama Islam .

Katanya, di bawah kepimpinan baharu ini, beliau menetapkan tempoh tiga bulan pertama kepimpinannya untuk menumpukan kepada usaha pemulihan, penjajaran, penstrukturan dan penumpuan hala tuju, struktur dan operasi YADIM secara keseluruhan.

“Tugas ini bukanlah sesuatu yang mudah sementelah YADIM sudah berfungsi sejak hampir separuh abad dengan dikuasai oleh tampuk kepimpinan lama yang umum mengetahui kecenderungan hala tuju siasah mereka terutamanya lewat 10 tahun kebelakangan ini.

“Bagi tujuan itu, YADIM amat memerlukan kepada tenaga berkemahiran dalam perubahan dan peralihan pengurusan yang akan bertindak secara profesional dan tidak terikat dengan budaya lama serta bebas daripada pengaruh politik.

“Inilah yang mendorong YDP untuk menggarap perubahan menyeluruh dengan memperkasakan struktur organisasi YADIM bermula dari atas hingga ke bawah,” katanya.

Mengulas lanjut, kenyataan itu berkata, kemasukan muka baharu dalam struktur operasi ini bukan sesuatu yang asing bagi mana-mana organisasi termasuk YADIM sendiri sebelum ini.

“Bahkan kemasukan kali ini tidak sama sekali berasaskan kepada afiliasi politik, sebaliknya berdasarkan kepada merit kelayakan dan pengalaman luas dimiliki oleh mereka sama ada dalam sektor awam dan swasta.

“Sebagai contoh, pelantikan Ketua Pegawai Operasi YADIM baharu adalah membabitkan pelantikan pegawai kerajaan dipinjamkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang bebas daripada sebarang kaitan politik selain mempunyai pengalaman luas dalam bidang pengurusan dan pentadbiran organisasi di dalam dan luar negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2019 @ 4:47 PM