Tangkap layar program tazkirah 24 jam anjuran Yadim. FOTO Facebook
Tangkap layar program tazkirah 24 jam anjuran Yadim. FOTO Facebook
Samadi Ahmad


Putrajaya: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) berjaya mencatat nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR) melalui penganjuran program tazkirah 24 jam yang diiktiraf sebagai 'Longest Non-Stop Live Broadcasting Islamic Talk' (siaran langsung tazkirah tanpa henti paling lama).

Yang Dipertua Yadim, Nasruddin Hasan berkata, program tazkirah 24 jam diadakan bermula 9 malam Isnin hingga 10 malam Selasa bersempena sambutan Maulidur Rasul 1443H yang menjadi sebahagian daripada pengisian program Bulan Dakwah 2.0 Yadim.

Menurutnya, bertitik tolak dengan hasrat melestarikan gerakan dakwah program ini membabitkan 24 penceramah dari dalam dan luar negara berjalan selama 24 jam tanpa henti.

Katanya, program ini secara lengkap membedah buku Sirah Nabawiyah terbitan Yadim yang diterjemah daripada kitab Al Raheeq Al Makhtum karanganSyeikh Saffiyu Al Rahman Al Mubarakfuri.

"Kitab tersebut dipilih kerana ia merupakan salah satu daripada sumber rujukan kontemporari yang terbaik dalam mengkisahkan perjalanan hidup junjungan besar Nabi Muhammad SAW secara lengkap," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Nasruddin berkata, dengan jumlah tontonan secara langsung melebihi 500 orang bagi setiap masa program ini berjaya mengumpul 44,893 peserta dan penonton yang mengikuti secara fizikal dan maya di penghujung catatan masa.

Menurutnya, lebih membanggakanketika pengumuman diadakan oleh Eksekutif Akaun, MBOR, Mohamad Nazrul Hafizi Ahmad Fauzi menyatakan Yadim berjaya mencatatkan rekod 25 jam tanpa henti.

Katanya, inisiatif ini diharapkan dapat mencetus gelombang dakwah di negara ini dan memberi inspirasi kepada banyak pihak yang mahu melestari gerakan dakwah di Malaysia.

"Yadim merakamkan ucapan penghargaan kepada kesemua pihak yang telah terlibat khususnya kepada Perdana Menteri yang juga penaung yayasan ini, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad serta semua pihak yang terbabit menjayakan program ini.

"Yadim akan terus mempergiat aktiviti kebajikan, pendidikan dan pembangunan sosial yang terangkum dalam konteks dakwah yang luas khususnya sepanjang pelaksanaan Bulan Dakwah 2.0 sehingga penghujung Disember tahun ini bagi membantu merealisasikan agenda Keluarga Malaysia yang diperkenalkan kerajaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Oktober 2021 @ 11:51 AM