DATUK Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri. FOTO arkib NSTP
DATUK Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri. FOTO arkib NSTP
Samadi Ahmad


Putrajaya: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) melancarkan Program Wake Up 4 Aqsa semalam bagi membangkitkan kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia serta menunjukkan solidariti kepada penduduk Palestin yang ditindas rejim Zionis Israel.

YADIM dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri ketika melancarkan inisiatif itu berkata, kekejaman dilakukan rejim Zionis Israel dalam tempoh seminggu ini sangat zalim dan ia bukanlah satu perkara baharu, bahkan sudah berlarutan lebih tujuh dekad.

"Sepanjang tempoh itu, jutaan penduduk Palestin terkorban, kehilangan tempat tinggal dan harta benda.

"Lebih menyedihkan dan membangkitkan kemarahan umat Islam di Malaysia serta seluruh dunia apabila Masjid Al-Aqsa yang menjadi kiblat pertama umat Islam dicerobohi dan diperlakukan dengan perbuatan biadap.

"Sesungguhnya kezaliman berpanjangan ini bukan lagi menjadi konflik antara agama namun sudah lama menjadi jenayah kemanusiaan," katanya.

Sementara itu Yadim berpendirian, komuniti antarabangsa terutamanya dalam kalangan negara Arab perlu segera mengambil langkah yang konstruktif bagi menghentikan episod penderitaan penduduk Palestin.

"Sebagai sebuah yayasan dakwah, Yadim akan menggerakkan segala usaha menyuburkan kefahaman, menyegarkan aspirasi idealisme, menyebarkan mesej perjuangan dan mengangkat naratif akidah serta kemanusiaan dalam isu Palestin ini.

"Bagi merealisasikan program ini Yadim akan bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuklah agensi kerajaan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), jaringan akademik dan tokoh perseorangan dalam kempen jangka masa sederhana dan panjang agar isu Palestin ini akan sentiasa relevan dan tersemat dalam hati nurani rakyat Malaysia yang cinta kepada kedamaian.

"Pelbagai program dan inisiatif akan diadakan selepas ini seperti gerakan mengutip dana bagi membantu misi kemanusiaan dan pembinaan semula fasiliti di Palestin terutamanya di Semenanjung Gaza," katanya.

Jelasnya, Yadim turut mensasarkan kutipan berjumlah RM100,000 untuk disalurkan melalui inisatif Aid4APalestine yang dilancarkan pada Sabtu lalu.

Katanya, Yadim turut berharap semua lapisan masyarakat tanpa mengira sempadan agama dan bangsa bersama-sama membantu menjayakan usaha itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Mei 2021 @ 1:42 PM