SITI Bainun tiba di perkarangan mahkamah hari ini. FOTO Aswadi Alias.
SITI Bainun tiba di perkarangan mahkamah hari ini. FOTO Aswadi Alias.
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Dasar dan Pelan Tindakan Kanak Kanak perlu diaktifkan segera bukan dilaksanakan secara bermusim bagi mengelak kes penganiayaan dan pengabaian seperti remaja Sindrom Down dikenali Bella tidak berulang.

Dalam kenyataan bersama, peguam pemerhati Bella berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Majlis Kebangsaan Bagi Kanak Kanak yang ditubuhkan di bawah Akta Kanak Kanak perlu mengaktifkan segera dasar dan pelan itu.

Katanya, kes pengabaian dan penderaan seumpama itu adalah manifestasi kelompangan perundangan yang perlu segera ditutup dengan penambahbaikan kepada Akta Kanak Kanak 2001 bagi menjadikan akta itu lebih inklusif melindungi kanak kanak dari pengabaian, penganiayaan, penderaan dan eksploitasi.

"Penting bagi memastikan operasi pusat berkaitan dengan asuhan, jagaan atau perlindungan kanak-kanak hanya dilakukan oleh mereka yang benar-benar terlatih dan bukan menjadikan pusat itu sebagai medium untuk mengaut derma atau sumbangan dari mana mana pihak.

"Justeru, menjadi keutamaan mengaktifkan segera Dasar dan Pelan Tindakan Kanak Kanak komprehensif yang sudah sedia wujud bagi memastikan kes Bella ini tidak akan berlaku lagi dalam negara kita yang bertamadun ini.

"Pelan dan dasar ini perlu dilaksanakan dengan pematuhan tegas dan tidak boleh hanya berbunyi secara bermusim setiap kali berlakunya kes penderaan kanak kanak," kata peguam berkenaan dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim melantik empat peguam, Datuk Baljit Singh Sidhu, Datuk Khairul Anwar Rahmat, Datuk Ikbal Salam dan Mohd Radzi Yatiman sebagai Peguam Pemerhati bagi membantu pasukan pendakwaan.

Kenyataan itu berkata, selepas mengambil keterangan 22 orang saksi pendakwaan dan lapan saksi pembelaan, perbicaraan yang berlangsung kira-kira dua tahun itu akhirnya keadilan berpihak kepada Bella apabila Siti Bainun Ahd Razali disabitkan bersalah.

"Sejak mula mengikuti kes ini kami melihat sendiri kecederaan akibat penderaan adik Bella dan berpandangan ia terlalu sakit untuk ditanggung seorang kanak kanak hingga kesan kekalnya akan menyebabkan trauma dari segi mental, emosi dan fizikal anak itu.

"Dengan sabitan dan hukuman yang diputuskan Hakim Mahkamah Sesyen hari ini, tertuduh masih mempunyai ruang untuk merayu ke Mahkamah Tinggi, jika dia berkehendak sedemikian dan pihak Pendakwaan juga ada hak merayu jika hukuman diputuskan pada hemah Pendakwa raya sebagai tidak mencukupi.

"Pihak kami sebagai Peguam Pemerhati lantikan TMJ merakamkan penghargaan kepada aktivis JusticeforBella yang membuka mata masyarakat akan episod penderaan yang berlaku dan menjunjung kasih di atas keprihatinan TMJ dan isteri," katanya.

Terdahulu, Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menjatuhkan hukuman 12 tahun penjara kepada pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali selepas didapati bersalah mengabai dan menganiaya Bella.

Hukuman serentak dijalankan bagi pertuduhan pertama, tertuduh dijatuhi hukuman pemenjaraan 10 tahun dari tarikh sabitan dan bagi pertuduhan kedua, tertuduh dijatuhi hukuman pemenjaraan 12 tahun dari tarikh sabitan.

Selain itu, Siti Bainun diperintahkan menandatangani bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan cagaran RM5,000 sebagai tambahan hukuman serta menjalani khidmat masyarakat selama 200 jam agregat yang disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.

Hakim Izralizam Sanusi menjatuhkan hukuman itu selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah di akhir kes pembelaannya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mei 2023 @ 3:12 PM