Keadaan sebahagian rumah sudah ditinggalkan oleh penduduk pada tinjauan susulan isu rumah penduduk Kampung Koskan Tambahan, Rawang akan diroboh tanpa ada sebarang rumah ganti kerana dikatakan didirikan di atas tanah rizab. Penduduk juga dakwa pengusiran paksa melanggari hak asasi manusia. FOTO ASWADI ALIAS
Keadaan sebahagian rumah sudah ditinggalkan oleh penduduk pada tinjauan susulan isu rumah penduduk Kampung Koskan Tambahan, Rawang akan diroboh tanpa ada sebarang rumah ganti kerana dikatakan didirikan di atas tanah rizab. Penduduk juga dakwa pengusiran paksa melanggari hak asasi manusia. FOTO ASWADI ALIAS
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Rawang: Lebih 60 penduduk Kampung Koskan Tambahan, di sini yang diminta mengosongkan kediaman mereka, bersedia menerima tawaran kerajaan negeri yang mempertimbangkan untuk memberi rumah Selangorku.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kampung Koskan Tambahan, Maszahar Hashim berkata, bagaimanapun tawaran itu perlu dibuat secara bertulis dan terbuka.

"Kelmarin, Menteri Besar Selangor (Datuk Seri Amirudin Shaari) sudah memberi maklum balas menerusi kenyataan media yang dikeluarkan.

"Beliau akan mempertimbangkan untuk memberi rumah Selangorku iaitu rumah kos medium yang akan dibina di kampung ini.

"Mewakili penduduk kami bersetuju dengan tawaran itu namun peri mempunyai hitam putih perjanjian dan tawaran," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Maszahar berkata, kebimbangan penduduk adalah mereka tidak mempunyai tempat tinggal selepas diarah mengosongkan kediaman bermula hari ini.

"Hari ini adalah tarikh untuk kami mengosongkan kediaman, perintah itu dikeluarkan mahkamah dan diserahkan oleh bailif kepada kami.

"Namun di mana kami nak tinggal selepas ini? Sudah berdekad kami di sini daripada generasi ke generasi," katanya.

Menurutnya, penduduk juga sudah membuat permohonan hak milik tanah berkenaan sebanyak dua kali iaitu pada tahun 2010 dan 2012.

"Kali pertama Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor (PDTHS) menolak permohonan dengan alasan ia adalah tanah rizab sungai.

"Namun kali kedua ditolak dengan alasan tanah itu milik persendirian iaitu milik sebuah syarikat, jadi mana satu ini? Kami mahukan ketelusan, jika tanah rizab sungai bagaimana syarikat itu boleh mendapat hak milik tanah sedangkan kami tidak dapat?," katanya.

Sementara itu, Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor dalam kenyataan berkata, permohonan penduduk Kampung Koskan Tambahan berikutan tanah berkenaan adalah rizab sungai.

Pentadbir Tanah Daerah Hulu Selangor, Mohamad Hanafe Basri berkata, berdasarkan semakan, tapak kediaman yang dimaksudkan penduduk adalah tanah hak milik persendirian (Lot 4465 GRN 322912) yang diberimilik sejak 133 tahun lalu (21 Jun 1890).

"Pemilik asal kemudian menjual tanah ini kepada Panca Resmi Sdn Bhd (Panca Resmi) pada tahun 1991. PDTHS ada menerima permohonan tanah oleh penduduk dan siasatan di tapak mendapati struktur kediaman penduduk adalah terletak atas tanah hak milik Lot 4465 GRN 322912.

"Tetapi, permohonan yang dikemukakan oleh penduduk adalah di atas rizab Sungai Serendah yang juga kawasan dataran banjir. Oleh itu, PDTHS tidak dapat mempertimbangkan permohonan di atas rizab sungai berkenaan, "katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mei 2023 @ 1:11 PM