ANGGOTA penguat kuasa KPDN Perlis meneliti simpanan petrol dan diesel yang dirampas dan kenderaan yang dipercayai digunakan untuk seludup diesel, FOTO Ihsan KPDN
ANGGOTA penguat kuasa KPDN Perlis meneliti simpanan petrol dan diesel yang dirampas dan kenderaan yang dipercayai digunakan untuk seludup diesel, FOTO Ihsan KPDN
Aizat Sharif


Padang Besar: Sindiket penyeludupan petrol dan diesel di kawasan sempadan Malaysia-Thailand, di sini dikesan memantau pergerakan penguat kuasa dengan mencatatkan nombor pendaftaran kenderaan peribadi pegawai dan kenderaan Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis.

Ini selepas penemuan sejumlah rekod senarai nombor pendaftaran kenderaan peribadi pegawai dan kenderaan dari pejabat kementerian itu dalam sebuah kereta milik sindiket dipercayai digunakan untuk mengetahui pergerakan anggota.

Pengarah KPDN Perlis, Norazah Jaapar berkata, modus operandi itu dikesan selepas menumpaskan kegiatan penyelewengan diesel dan petrol menerusi Ops Tiris dalam dua serbuan berasingan di stor tidak bernombor di Kampung Melayu Padang Besar, di sini semalam.

"Serbuan dilakukan oleh sepasukan anggota penguat kuasa pada 7.30 pagi susulan risikan sejak dua minggu lalu.

"Dalam serbuan pertama itu, sebuah kenderaan pacuan empat roda dengan nombor pendaftaran asing didapati sedang menyedut keluar disyaki diesel dari tong dram untuk dimasukkan ke dalam tangki minyak kenderaan itu.

"Pemeriksaan lanjut menemui 640 liter diesel dan 300 liter petrol dianggarkan bernilai RM53,451," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Katanya, dua lelaki termasuk seorang warga asing berusia dalam lingkungan 20-an dan 50-an ditahan bagi membantu siasatan.

Katanya, turut disita diesel, petrol, tong dram, tong 'jerry can', pam elektrik sedut minyak berserta hos dan kenderaan pacuan empat roda untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, serbuan kedua dilakukan di stor penyimpanan berhampiran serbuan pertama.

"Kita menemui sebuah kereta Proton Iswara yang mempunyai tangki tambahan di dalam kereta dan pemeriksaan lanjut menemui kira-kira 300 liter disyaki petrol di dalamnya dianggarkan berjumlah RM5,615.00.

"Apa yang mengejutkan, kita menemui sejumlah rekod senarai nombor pendaftaran kenderaan peribadi pegawai dan kenderaan Pejabat KPDN Perlis di dalam kereta itu yang kita percaya digunakan untuk mengetahui pergerakan anggota KPDN Perlis.

"Bagi serbuan kedua ini, tiada individu ditemui di lokasi berkenaan dan kereta serta petrol yang ditemui dirampas," katanya.

Beliau berkata, ahli sindiket dipercayai rakyat tempatan akan menggunakan kenderaan tempatan untuk membeli diesel dan petrol bersubsidi di beberapa stesen minyak di negeri ini.

Katanya, ia kemudian dibawa ke lokasi serbuan untuk dijual kepada warga asing.

"Penemuan rekod senarai nombor pendaftaran itu membuktikan pergerakan penguat kuasa KPDN sering dipantau oleh anggota sindiket," katanya.

Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2011.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2023 @ 4:40 PM