Van yang digunakan suspek untuk menjalankan kegiatan penyelewengan diesel ditahan di sebuah stesen minyak berhampiran Jalan Tun Jugah, Kuching hari ini. FOTO Ihsan KPDN
Van yang digunakan suspek untuk menjalankan kegiatan penyelewengan diesel ditahan di sebuah stesen minyak berhampiran Jalan Tun Jugah, Kuching hari ini. FOTO Ihsan KPDN
Melvin Joni


Kuching: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya mengekang penyelewengan barang bersubsidi di Sarawak yang membabitkan nilai rampasan lebih RM10.06 juta.

Pengarah KPDN Sarawak, Matthew Dominic Barin berkata, rampasan itu daripada 167 kes yang disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dalam tempoh lapan bulan ini.

"Jumlah nilai rampasan adalah RM10,069,143.27, dengan kompaun dikenakan adalah RM574,500," katanya dalam kenyataan hari ini.

Matthew berkata, kes terbaharu ditumpaskan pihaknya, hari ini yang membabitkan penahanan lelaki berusia 28 tahun.

Katanya, suspek dikesan mengisi minyak untuk diseleweng di sebuah stesen minyak di sini.

"Pemeriksaan terhadap van digunakan suspek menjumpai 900 liter diesel dianggarkan RM1,935, tangki plastik berkapasiti 1,000 liter dan pam elektrik berserta hos," katanya.

Menurutnya kes itu disiasat mengikut Seksyen 20 (1), Akta Kawalan Bekalan 1961 yang sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta bagi kesalahan pertama atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya jika individu.

Katanya, bagi kesalahan kedua, suspek boleh didenda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti penyelewengan supaya menyalurkannya ke platform aduan KPDN termasuk WhatsApp 019-279 4317/ 019-848 8000 atau portal e-Aduan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Ogos 2023 @ 6:52 PM