GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Ahmad Hasbi


Rembau: Meskipun memiliki 10 rekod jenayah lampau, seorang pemegang kad pengenalan MyPoca sekali lagi ditahan polis kerana merayau membawa dadah.

Suspek diberkas anggota Unit Kereta Peronda (MPV) polis di Kampung Kundur Hilir, di sini, jam 11.30 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad berkata, MPV polis yang sedang meronda bersama anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Rembau menahan kenderaan dinaiki suspek dipandu dalam keadaan mencurigakan.

"Hasil pemeriksaan kad pengenalan mendapati suspek adalah pemegang kad pengenalan MyPoCA iaitu kad pengenalan warna perang yang biasanya dikeluarkan untuk tahanan Akta Pencegahan Jenayah (Poca)," katanya semalam.

Beliau berkata, anggota BSJND yang membuat pemeriksaan lanjut terhadap suspek dan kenderaan dinaiki kemudiannya menemui satu paket lutsinar yang mengandungi serbuk kristal dipercayai dadah jenis methaphetamine.

"Polis kemudiannya menahan suspek berusia 32 tahun dan rakannya berumur 52 tahun yang turut berada dalam kenderaan. Mereka dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Rembau untuk tindakan lanjut.

"Semakan lanjut mendapati lelaki berusia 32 tahun mempunyai 10 rekod jenayah dengan empat daripadanya membabitkan kesalahan narkotik manakala seorang lagi suspek memiliki enam rekod jenayah termasuk kesalahan dadah.

"Malah, ujian saringan air kencing terhadap kedua-dua suspek mendapati mereka positif dadah jenis methaphetamine. Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 January 2022 @ 11:15 AM