DADAH yang dirampas dalam serbuan. FOTO ihsan Polis
DADAH yang dirampas dalam serbuan. FOTO ihsan Polis
Nuraliawati Sabri


Melaka: Suami isteri ditahan polis dalam serbuan di Taman Masjid Tanah, di sini, kelmarin, selepas dipercayai terbabit aktiviti pengedaran dadah.

Serbuan kira- kira 3 petang di rumah pasangan berusia 35 tahun itu dilakukan sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri Superintendan Zulkiflee Rashid berkata, ketika serbuan itu hanya suspek wanita berada di rumah dan hasil pemeriksaan di rumah yang turut dijadikan bengkel motosikal membawa kepada penemuan satu beg di lantai garaj.

"Di dalam beg itu polis menemui sembilan peket plastik lutsinar dan dua tiub penyedut minuman disyaki dadah jenis heroin.

"Turut ditemui lima biji pil dipercayai Eramin 5 dan kesemua itu dianggarkan berjumlah RM2,875," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, wanita terbabit kemudian dibawa ke Balai Polis Masjid Tanah untuk tindakan lanjut.

"Suaminya yang hadir ke balai polis kira- kira 7 malam untuk berjumpa isteri kemudian turut ditahan.

"Hasil semakan rekod lampau mendapati pasangan itu tiada sebarang rekod jenayah lampau.

"Bagaimanapun hasil ujian saringan awal air kencing dijalankan suspek lelaki didapati positif dadah jenis morfin," katanya.

Zulkiflee berkata, mereka direman enam hari sehingga 16 Jun ini bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 serta Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Jun 2021 @ 10:34 AM