NOOR Mohamad (tengah pegang lemang) meraikan Aidilfitri bersama kontinjen Malaysia Batalion 850-10 (Malbatt 850-10) di Selatan Lubnan. FOTO ihsan ATM
NOOR Mohamad (tengah pegang lemang) meraikan Aidilfitri bersama kontinjen Malaysia Batalion 850-10 (Malbatt 850-10) di Selatan Lubnan. FOTO ihsan ATM
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Panglima Angkatan Bersama Leftenan Jeneral Datuk Noor Mohamad Akmar Md Dom, meraikan Aidilfitri bersama kontinjen Malaysia Batalion 850-10 (Malbatt 850-10) di Selatan Lubnan yang sedang melaksanakan misi pengaman Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL), hari ini.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam kenyataan malam ini memaklumkan, sambutan Aidilfitri yang sederhana tetapi meriah itu membabitkan kontinjen Malbatt 850-10 terdiri dari 84 pegawai dan 770 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) dari ATM, selain termasuk 30 anggota dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) serta seorang pegawai awam dari Kementerian Pertahanan.

Katanya, Malbatt 850-10 yang sudah memulakan misi pada 12 November 2022 itu dijangka menamatkan misi pada 12 November depan selepas 12 bulan berkhidmat di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Sambutan Aidilfitri yang disambut hari ini dimulai dengan takbir raya dan solat sunat Aidilfitri di Masjid Kawkaba, UNP 2-1 Kem Marakah dipimpin oleh Pegawai Agama, Mejar Lukman Hakim Abd Wahab.

"Khutbah Aidilfitri pula disampaikan oleh Panglima Angkatan Bersama, malah Aidilfitri turut diserikan dengan kehadiran Duta Besar Malaysia ke Lubnan, Azri Mat Yacob.

"Sebanyak 16 gerai menyajikan pelbagai jenis juadah hari raya disajikan kepada tetamu dan sepanjang acara berlangsung, Panglima Angkatan Bersama dan warga Harimau 10 dipersembahkan dengan live band dari 'Magnificient 10'," kata kenyataan itu.

Terdahulu, katanya, malam akhir Ramadan disambut meriah dengan berlangsungnya majlis berbuka puasa Malbatt 850-10 bersama Panglima Angkatan Bersama bertempat di Dewan Pengaman, Kem Marakah, Lubnan.

Menurutnya, sebaik selesai solat Isyak, program diteruskan dengan membuat persiapan juadah raya di perkarangan Kelab NADI.

"Walaupun jauh di perantauan, tradisi membakar lemang dan mengacau dodol tetap dilaksanakan oleh warga Harimau 10 sebagai pengubat rindu pada kampung halaman.

"Objektif utama lawatan ini adalah bertujuan untuk menyantuni anggota di penempatan ATM serta membabitkan tahap kesiagaan aset dan anggota yang sedang menjalani misi pengaman di sini.

"Menjadi kelaziman dan rutin tahunan oleh pucuk pimpinan ATM untuk menyantuni dan menyambut Aidilfitri bersama anggota di kawasan operasi sama ada di dalam atau luar negara," katanya.

Lawatan berkenaan adalah lawatan sulung Panglima Angkatan Bersama selepas mengambil alih tampuk pemerintahan pada 12 Disember 2022 yang lalu.

Semalam, Panglima Angkatan Bersama turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Duta Besar Malaysia ke Lubnan, Azri Mat Yacob bertempat di Kedutaan Malaysia, Ras Beirut bagi membincangkan isu berkepentingan dua hala serta bertukar pandangan mengenai isu keselamatan di Lubnan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 April 2023 @ 11:50 PM