Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato' Sri Hj Affendi Buang memulakan lawatan kerja ke Kontinjen MALBATT 850-9 yang melaksanakan misi pengaman di bawah kawalan operasi Markas Sektor Barat, United Mission Interim Force In Lebanon (UNIFIL), Ketibaan beliau di Kem Ma’rakah, Lubnan yang merupakan penempatan bagi kontinjen berkenaan telah disambut oleh Komander Sektor Barat UNIFIL, Brigedier Jeneral Massimiliano Stecca dan Komander MALBATT 850-9, Kolonel Megat Maz Ardi Nohuddin. FOTO IHSAN MINDEF
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato' Sri Hj Affendi Buang memulakan lawatan kerja ke Kontinjen MALBATT 850-9 yang melaksanakan misi pengaman di bawah kawalan operasi Markas Sektor Barat, United Mission Interim Force In Lebanon (UNIFIL), Ketibaan beliau di Kem Ma’rakah, Lubnan yang merupakan penempatan bagi kontinjen berkenaan telah disambut oleh Komander Sektor Barat UNIFIL, Brigedier Jeneral Massimiliano Stecca dan Komander MALBATT 850-9, Kolonel Megat Maz Ardi Nohuddin. FOTO IHSAN MINDEF
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Affendi Buang mengambil inisiatif memperkasakan jaringan hubungan diplomasi pertahanan serta antarabangsa melalui kunjungan hormat beliau kepada pucuk pimpinan United Nations Interim Force in Lebanon (UNIFIL) dan Angkatan Tentera Lubnan (Lebanese Armed Forces).

Affendi turut melaksanakan pertemuan dengan Duta Besar Malaysia ke Lubnan sempena lawatan kerja Panglima Angkatan Tentera Malaysia ke Kontinjen Malbatt 850-9 yang melaksanakan misi pengaman di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan atau UNIFIL.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam kenyataan berkata, Affendi disambut dengan penghormatan ketenteraan ketika membuat kunjungan hormat kepada Timbalan Ketua Misi UNIFIL, Jack Christofides yang turut disertai Timbalan Komander UNIFIL, Brigadier Jeneral Irvine Nii-Ayitey Aryeetey di Markas UNIFIL, Naqoura.

Menurutnya, pertemuan Affendi dengan kedua-dua pucuk pimpinan UNIFIL berkenaan adalah agenda utama dalam menyatakan komitmen Malaysia dan ATM khususnya dalam misi pengaman itu.

"Ia memperkukuhkan keyakinan antarabangsa sejak Malaysia terbabit menghantar anggota ATM ke Lubnan bermula tahun 2007 yang kemudiannya turut disertai secara bersama oleh beberapa pegawai serta anggota daripada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) pada 2008.

"Bermula detik itu, Malaysia dan ATM khususnya terus diberi kepercayaan untuk kekal terbabit dalam misi pengaman di negara berkenaan yang bukan sahaja menyerlahkan kemampuan anggota ATM, malah turut membuktikan kredibiliti, kewibawaan dan kecemerlangan ATM itu sendiri di peringkat antarabangsa," katanya.

Katanya, bagi memperkasakan kerjasama pertahanan antara angkatan tentera kedua-dua negara, Affendi turut mengadakan kunjungan hormat kepada Panglima Angkatan Tentera Lubnan, Jeneral Joseph Khalil Aoun di Kementerian Pertahanan Lubnan di Beirut.

"Pengekalan dan pemerkasaan kerjasama pertahanan ini amat penting bagi meningkatkan kesefahaman dan menyatakan komitmen angkatan tentera kedua-dua negara tambahan ATM melalui kontinjen MALBATT mengawal selia kawasan tanggungjawab seluas 288 km persegi serta memantau keselamatan di 48 perbandaran di bawah kawalan operasi Markas Sektor Barat, UNIFIL.

"Pengekalan kesefahaman dan keyakinan Lubnan khususnya angkatan tentera negara berkenaan terhadap ATM suatu pengiktirafan dan penghargaan lebih-lebih lagi kontinjen MALBATT amat komited melaksanakan pelbagai aktiviti operasi secara berkala bersama Angkatan Tentera Lubnan di bawah pengoperasian Independent and Coordinated Activity With Lebanese Armed Forces (COAWL)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Februari 2022 @ 5:35 PM