Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Shah Alam: Seramai 218 anggota dan pegawai pasukan Batalion Malaysia (Malbatt) 850-11 yang berlepas ke Lubnan hari ini bakal berdepan tugas sukar berikutan konflik Palestin-Israel yang semakin meruncing.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, bagaimanapun pasukan Malaysia yang ditugaskan bagi misi United Nations Interim Force In Labenon (Unifil) ditempatkan jauh dari sempadan konflik.

Menurutnya, berbanding kontinjen dari negara lain yang ditugaskan lebih hampir dengan kawasan konflik, pasukan pengaman Malaysia berada di lokasi lebih selamat iaitu sekitar 20 kilometer (km) dari sempadan.

"Pada awalnya kita ke sana (misi pengaman) kerana perang saudara di Lubnan di mana keadaannya memang lagi teruk (dari sekarang) tetapi pasukan kita tidak berhadapan dengan konflik.

"Kita berada di kawasan 'blue line', jadi saya yakin, sama-sama kita berdoa supaya konflik itu tidak sampai ke kawasan tentera pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)," katanya pada sidang media di Pangkalan Udara Subang, di sini hari ini.

PEGAWAI tentera lain-lain pangkat berbaris pada majlis pemakaian beret PBB, penyerahan Bendera Malaysia dan penghantaran kumpulan pertama Batalion Malaysia (MALBATT) 850-11 ke Lubnan bagi misi Pasukan Interim PBB UNIFIL di Pangkalan Udara, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini. FOTO Sadiq Sani
PEGAWAI tentera lain-lain pangkat berbaris pada majlis pemakaian beret PBB, penyerahan Bendera Malaysia dan penghantaran kumpulan pertama Batalion Malaysia (MALBATT) 850-11 ke Lubnan bagi misi Pasukan Interim PBB UNIFIL di Pangkalan Udara, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini. FOTO Sadiq Sani

Beliau berkata, pasukan Malbatt 850-10 yang kini bertugas di dua kem iaitu di Tibnine dan Marakah sejak setahun lalu berada dalam keadaan baik sepanjang konflik Palestin-Israel tercetus 7 Oktober lalu.

Katanya, pasukan Malbatt 850-11 yang berlepas ke Lubnan dari Pangkalan Udara Subang, di sini hari ini akan menggantikan tugas Malbatt 850-10 yang akan pulang ke tanah air.

"Kita ada dua kem di sana yang terletak 10 km antara satu sama lain. Ini (Malbatt 850-11) adalah pasukan pengganti dan kita akan bawa pulang anggota kita yang sudah bertugas (di Lubnan) selama 12 bulan.

"Kita akan terus hantar (Malbatt) sehinggalah PBB di bawah Unifil membuat keputusan berlainan (tidak perlu hantar), kita bersyukur setakat ini kontinjen Malaysia dia jauh, bukan dekat sempadan," katanya.

Katanya, pembabitan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) misi-misi di bawah panji-panji PBB adalah pengiktirafan ke atas kredibiliti, kewibawaan dan profesionalisme ATM.

Menurutnya, keseluruhannya 854 pegawai dan anggota dari ketiga-tiga cabang ATM serta 30 pegawai Angkatan Bersenjata Brunei akan dihantar ke Lubnan secara berperingkat bermula hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2023 @ 6:06 PM