Raja Noraina Raja Rahim

Shah Alam: Kumpulan terakhir Batalion Malaysia (Malbatt) 850-10 yang bertugas di Lubnan, berdepan cabaran getir susulan peperangan Israel dan Palestin.

Dua kem yang menempatkan kumpulan disertai 218 pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di bawah misi United Nations Interim Force In Labenon (UNIFIL) itu hanya terletak antara 12 hingga 25 kilometer dari sempadan Lubnan-Israel sekali gus mengancam keselamatan mereka.

Berkongsi pengalaman, Ketua Kontinjen Malbatt 850-10, Kolonel Mohd Rizman Ramli berkata, bunyi letupan termasuk artileri amat jelas kedengaran sejak peperangan itu bermula pada 7 Oktober lalu.

"Hampir setiap hari kami boleh dengar bunyi letupan dan situasi itu sedikit sebanyak menjejaskan operasi serta pergerakan keluar anggota. Aktiviti rondaan kenderaan juga terpaksa dihadkan bergantung kepada situasi semasa.

"Jika berlaku serangan, kami diarahkan tidak keluar dari kawasan kem kerana kedudukan kem yang terletak hampir dengan sempadan.

"Bagaimanapun, ia tidak menjejaskan moral semua pegawai dan anggota dalam menjalankan tugas. Bagi saya keselamatan setiap anggota amat penting," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penerimaan Kumpulan Terakhir Malbatt 850-10 di Pangkalan Udara Subang, dekat sini, hari ini.

MOHAMMAD berucap pada Majlis Penerimaan Kumpulan Terakhir Malbatt 850-10. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
MOHAMMAD berucap pada Majlis Penerimaan Kumpulan Terakhir Malbatt 850-10. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN

Terdahulu, ketibaan mereka disambut Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman selain turut dihadiri Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob.

Kumpulan keempat yang tiba termasuk daripada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) diatur gerak pulang ke Malaysia selepas tamat melaksanakan penugasan UNIFIL di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selama 12 bulan bermula 27 Oktober tahun lalu.

Bagi Laskar Udara I (Wanita) Nur Ameylya Natasha Asral, 24, pengalaman pertama bertugas di luar negara dan melalui krisis peperangan itu pastinya mendatangkan perasaan bimbang terhadap keselamatan diri.

Namun, pembantu am komander itu berkata, ia tidak mematahkan semangat untuk terus melaksanakan tanggungjawab dan tugas pengaman.

"Apabila mendengar letupan, sudah tentu saya risau dan fikirkan keluarga tapi ada tanggungjawab besar sebagai pengaman. Saya tolak tepi perasaan itu dan teruskan amanah diberikan.

"Kami sudah dilatih untuk kekal selamat dan terkawal walaupun dalam keadaan tidak boleh dijangka. Saya belajar untuk bersedia dalam apa jua keadaan," katanya.

Bagaimanapun, katanya, setahun bersama pasukan Malbatt di Lubnan memberikan pengalaman manis selain dapat mempelajari budaya serta kehidupan penduduk di negara itu.

KUMPULAN terakhir Malbatt 850-10 tiba di tanah air, hari ini disambut Mohammad dan Abdul Rahman. FOTO Eizairi Shamsudin.
KUMPULAN terakhir Malbatt 850-10 tiba di tanah air, hari ini disambut Mohammad dan Abdul Rahman. FOTO Eizairi Shamsudin.

Sementara itu, Mohammad dalam ucapannya berkata, penugasan Malbatt 850-10 berdepan cabaran dengan konflik Israel-Palestin memberi kesan kepada keselamatan di Selatan Lubnan dan menjejaskan pengoperasian pasukan.

"Pengalaman anggota menyaksikan dan mendengar letupan roket, artileri, mortar dan serangan pesawat udara perlu dijadikan pengalaman berharga untuk dikenang sepanjang hayat.

"Ia juga menjadi pencetus semangat kepada seluruh warga ATM dan rakyat Malaysia untuk terus mempertahankan kedaulatan negara supaya keamanan serta kemakmuran dikecapi ini terus terpelihara.

"Kepulangan hari ini membawa kejayaan serta mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa. Pengorbanan, jasa dan bakti yang dicurahkan amat disanjung tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2023 @ 7:40 PM