Hanifa (kanan) diringi Azman (kiri) melancarkan SHMMP Hari Raya Puasa 2023 di Pasaraya Aeon Mall Kota Bharu. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Hanifa (kanan) diringi Azman (kiri) melancarkan SHMMP Hari Raya Puasa 2023 di Pasaraya Aeon Mall Kota Bharu. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan mengambil tindakan terhadap 212 kes atas pelbagai kesalahan sejak Januari lalu.

Pengarahnya, Azman Ismail berkata, sebanyak 22,080 premis di negeri ini diperiksa dengan nilai rampasan RM1.25 juta, manakala jumlah kompaun RM15,100.

Katanya, antara kesalahan ialah menjual barangan harga kawalan melebihi harga maksimum, gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal dan tidak meletakkan tanda harga pada barangan yang dipamerkan untuk jualan.

"KPDN Kelantan sentiasa membuat pemantauan supaya peniaga mematuhi peraturan khususnya ketika musim perayaan.

"Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hanifa Ahmad melancarkan Majlis Pelancaran Skim Harga Kawalan Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2023, di sini, hari ini.

Azman berkata, pada masa sama, pegawai penguat kuasa dan pemantau harga KPDN juga sentiasa menjalankan pemeriksaan di lokasi terpilih yang menjadi tumpuan orang ramai membeli-belah.

"Pemeriksaan ini dilakukan untuk memastikan pengguna dilindungi daripada aktiviti pengambilan keuntungan berlebihan oleh peniaga yang tidak beretika ketika musim perayaan," katanya.

Dalam perkembangan sama, Azman berkata, bekalan ayam serta minyak masak mencukupi untuk menampung keperluan pengguna sebelum dan selepas Hari Raya Aidifitri.

"Manakala bekalan telur, kita mendapat jaminan daripada pengilang serta pengeluar telur dari Melaka, Johor dan Negeri Sembilan untuk memastikan bekalan mencukupi untuk Aidilfitri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 April 2023 @ 3:09 PM