Armizan Mohd Ali (tiga dari kanan) ketika meninjau pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2024. FOTO AZRUL EDHAM
Armizan Mohd Ali (tiga dari kanan) ketika meninjau pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2024. FOTO AZRUL EDHAM
Mohd Amin Jalil

Nilai: Kerajaan akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Aidilfitri 2024 berkuat kuasa 5 hingga 19 April ini sebagai langkah menangani sebarang kenaikan harga barangan sepanjang musim perayaan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sebanyak 22 jenis barangan akan berada di bawah skim berkenaan.

Katanya, skim itu membolehkan penentuan harga dibuat ke atas peringkat pengeluar, pemborong dan peruncit.

"Tempoh pelaksanaan SHMMP Hari Raya Aidlfitri 2024 adalah selama 15 hari iaitu lima hari sebelum perayaan, satu hari semasa perayaan dan sembilan hari selepas perayaan.

"Sebanyak 22 jenis barangan diwartakan bagi pelaksanaan skim dan ini adalah bersesuaian mengikut keadaan semasa iaitu mewujudkan suasana menang-menang kepada pengguna dan peniaga.

"Pengguna dapat menikmati harga berpatutan dan peniaga pula tidak tertekan dengan tempoh masa pelaksanaan yang terlalu lama," katanya pada sidang media di sebuah pasar raya, di sini, hari ini.

Armizan berkata, kementeriannya juga akan bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi memastikan harga barangan terkawal serta bekalan mencukupi.

Beliau berkata, semakan harga boleh dibuat melalui laman web KPDN di https://www.kpdn.gov.my.

Menurutnya, pegawai penguat kuasa KPDN di seluruh negara akan melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan di lokasi strategik termasuk di pasar malam, pasar tani dan pusat membeli-belah.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan di bawah skim ini melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011).

"Ini termasuk tindakan bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga bagi barangan terkawal," katanya.

Armizan berkata, berdasarkan rekod sebelum ini, kegagalan peniaga meletakkan tanda harga antara kesalahan sering dilakukan.

"Saya berharap peniaga di semua peringkat dapat memberikan kerjasama dalam usaha meringankan beban pengguna.

"Pengguna juga harus menggunakan kebjiaksanaan dan kuasa yang ada pada mereka untuk membuat pilihan memilih barangan yang rendah harganya.

"Orang ramai juga boleh memaklumkan aduan kepada KPDN melalui saluran disediakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2024 @ 4:08 PM