Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Hanya satu atau dua peruncit di negeri ini mengalami gangguan bekalan telur namun ia masih mencukupi.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Pulau Pinang S Jegan berkata, pemantauan harian oleh pihaknya juga mendapati, bekalan telur daripada pemborong juga tidak mengalami gangguan.

"Bekalan telur secara keseluruhannya (di Pulau Pinang) masih cukup iaitu sekitar 60 hingga 70 peratus daripada keadaan normal.

"Kita sudah lakukan pemantauan harian terhadap pemborong dan mendapati ia mencukupi cuma ada satu dua peruncit alami gangguan bekalan, tetapi masih cukup iaitu dapat bekalan dua kali seminggu," katanya pada sidang media di Sam's Groceria Straits Quay, Sri Tanjung Pinang di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Jegan berkata, pemantauan pihaknya juga mendapati, bekalan telur gred A, B dan C masih ada di pasaran.

"Pengguna disaran supaya muat turun aplikasi 'PriceCatcher' bagi membolehkan mereka mendapat harga terkini barangan dengan pantas selain menyemak lokasi penjualan telur.

"Mengenai bekalan telur dari India, pada masa ini, ia sudah ada di Pasaraya Mydin (Bukit Mertajam).

"Keseluruhannya sepanjang perayaan sambutan Krismas, kesemua bekalan di negeri ini adalah mencukupi," katanya.

Terdahulu, Jegan ditemui selepas melakukan walkabout Pelancaran Harga Maksimum Barangan Harga Terkawal Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2022 Peringkat Negeri Pulau Pinang yang berkuatkuasa hari ini, hingga 27 Disember ini.

ABDUL Halim Hussain (kanan) memeriksa harga telur ketika Walkabout Pelancaran Harga Maksimum Barangan Harga Terkawal Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2022. FOTO Zuhainy Zulkiffli
ABDUL Halim Hussain (kanan) memeriksa harga telur ketika Walkabout Pelancaran Harga Maksimum Barangan Harga Terkawal Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2022. FOTO Zuhainy Zulkiffli

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan negeri Datuk Abdul Halim Hussain dan Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN negeri, A Mogan.

Antara barangan harga terkawal ialah tomato dengan harga runcit RM5 sekilogram, lada benggala hijau (RM14 sekilogram), kubis bulat import (RM4 sekilogram), lobak merah (RM4.50 sekilogram), ubi kentang import (RM4 sekilogram) dan daging biri-biri import bertulang (RM37 sekilogram).

Mengikut statistik penguatkuasaan KPDN, bermula 1 Januari hingga 22 Disember lalu, 53,109 premis di Pulau Pinang sudah diperiksa.

Daripada jumlah itu, 733 kes pelbagai kesalahan dengan sitaan berjumpah RM2.4 juta dan kompaun RM215,900 direkodkan.

Manakala statistik aduan yang diterima sepanjang tempoh sama pula, 458 aduan diterima berhubung harga barangan dan perkhidmatan, bekalan barang kawalan (57) dan lain-lain (1,103).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Disember 2022 @ 2:50 PM