FUZIAH (tengah) ketika meninjau harga barang di sebuah pasar raya di Kuantan. FOTO T.N Alagesh
FUZIAH (tengah) ketika meninjau harga barang di sebuah pasar raya di Kuantan. FOTO T.N Alagesh
Asrol Awang

Kuantan: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan meningkatkan penguatkuasaan dan pemantauan harga sepanjang Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Aidilfitri sepanjang tempoh 15 hari bermula hari ini.

Justeru, Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, seramai 2,200 pegawai penguatkuasa dan kira-kira 1,000 pegawai pemantau harga (PPH) ditugaskan untuk memastikan peniaga mematuhi harga sepanjang skim itu dilaksanakan.

Katanya, tempoh pelaksanaan adalah selama 15 hari iaitu lima hari sebelum perayaan, satu hari ketika perayaan dan sembilan selepas perayaan.

"Tujuan utama pemantauan dilakukan adalah bagi memastikan semua pihak terutama peniaga dapat mematuhi harga barangan yang diwartakan dan menggunakan label merah jambu bagi barangan yang dikawal harganya.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan di bawah skim ini. Peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

"Sebanyak 22 jenis barangan yang diwartakan bagi pelaksanaan SHMMP Aidilfitri antaranya daging lembu tempatan, daging kerbau import, tomato, cili merah, kubis bulat import, kacang panjang, timun, sawi hijau dan halia tua," katanya.

Fuziah berkata demikian pada sidang media selepas lawatan sempena pelaksanaan SHMMP Aidilfitri 2024 di sebuah pasar raya di sini, hari ini.

Beliau turut memberi jaminan bahawa tidak akan berlaku kekurangan bekalan keperluan termasuk barangan yang disenaraikan mengikut SHMMP sepanjang Aidilfitri.

"Bekalan telur ayam dan daging yang mencukupi termasuk daging lembu. Bekalan bawang tidak akan terjejas kerana kita mengimport dari China," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2024 @ 4:43 PM