Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Kebakaran kawasan tanah gambut di Beris Lalang, Bachok sejak akhir Mac lalu kini semakin merebak sehingga 50 hektar.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata kejadian itu dikesan pada 27 Mac lalu yang ketika itu hanya membabitkan tanah gambut seluas lima hektar sahaja.

Katanya, keadaan di lokasi kini masih berasap dan belum padam sepenuhnya selain dijangka mengambil masa untuk kembali pulih.

"Kebakaran itu kini merebak ke kampung berhampiran termasuk Kampung Kual. Justeru, kita sudah mengambil beberapa langkah termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kelantan mengeluarkan notis arahan kepada semua pemilik tanah supaya bertanggungjawab dan mengambil langkah sebaiknya bagi mengelak tanah diceroboh.

"JAS juga menggerakkan pasukan operasi mencegah kebakaran terbuka selain melakukan pemeriksaan harian serta memberi penerangan kepada tuan tanah supaya tidak melakukan kebakaran terbuka.

"Pada masa sama, pihak Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) melakukan operasi mengepam telaga tiub di kawasan berkenaan sejak 29 Mac bagi melembapkan tanah sekali gus mengelak kebakaran terus merebak," katanya pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada 70 asnaf, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Nik Nazmi berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan kini sedang giat melakukan operasi pemadaman.

"Justeru kita mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka kerana pada musim ini ia senang merebak dan mampu menyumbang kepada masalah jerebu.

"Kita juga menasihatkan orang ramai supaya melaporkan terus kepada pihak berkuasa sekiranya berlaku kebakaran di tanah milik mereka," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, kira-kira 2,000 keluarga daripada lima kampung di sekitar Beris Lalang, di sini terpaksa menghidu asap daripada kebakaran tanah gambut sejak dua minggu lalu.

Keadaan yang tidak selesa itu berpunca daripada kebakaran di kawasan tanah gambut seluas lima hektar yang menyebabkan Kampung Beris Lalang, Gelung Badak, Beoh, Kual Besar dan Alor Pauh dilanda jerebu.

Pengarah JAS Kelantan, Wan Aminordin Wan Kamaruddin berkata, setakat ini pihaknya sudah menerima enam laporan berhubung kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 April 2023 @ 4:52 PM
CUACA panas berpanjangan dijangka melanda negara sehingga Ogos susulan peralihan monsun ketika tinjauan di Jalan Bachok-Tok Bali. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
CUACA panas berpanjangan dijangka melanda negara sehingga Ogos susulan peralihan monsun ketika tinjauan di Jalan Bachok-Tok Bali. FOTO Nik Abdullah Nik Omar