ZULKIFLI Abdullah (berbaju merah) berkongsi rezeki dan bersahur bersama penghuni RSK Taiping. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
ZULKIFLI Abdullah (berbaju merah) berkongsi rezeki dan bersahur bersama penghuni RSK Taiping. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Taiping: "Kerana isteri, saya berada di sini dan berasa tenang," kata salah seorang penghuni rumah perlindungan warga emas Rumah Seri Kenangan (RSK) Taiping di sini.

Mahu dikenali sebagai Wahab (bukan nama sebenar), lelaki berusia 60-an itu berkata selepas kematian isterinya beberapa tahun dahulu, dia hilang arah dan hampir putus asa untuk meneruskan kehidupan berikutan terlalu menyayanginya.

Katanya, dia bercerai dengan isteri pertama dan berkahwin dengan isteri keduanya namun selepas kematian isteri itu, dia seolah-olah tidak dapat terima kenyataan menyebabkan hilang arah dan tidak terurus.

"Saya sangat sayangkannya isteri dan disebabkan itu, ada beberapa sejarah hitam berlaku ke atas saya menyebabkan saya ditempatkan di RSK Hulu Kinta sebelum berada di sini," katanya ditemui pada Program Singgah Sahur Taiping Medical Centre (TMC) bersama agensi kerajaan dan media baru-baru ini.

Menurut Wahab yang kini hampir setahun menghuni RSK di Taiping, dia sudah dapat menerima kenyataan dan kehidupannya kini lebih tenang.

"Memang sukar nak lupakan kenangan dengan arwah isteri namun sejak berada di sini ditambah pula nasihat dari rakan-rakan, saya kini sudah terima kenyataan.

"Adik beradik dan anak-anak termasuk anak tiri, ada mengajak saya tinggal dan menyambut raya bersama mereka, namun saya lebih suka tinggal dan menghabiskan sisa hidup di RSK.

"Lagipun mereka sudah berumah tangga dan saya tak mahu menjadi beban kepada mereka," katanya.

Dalam pada itu Pembantu Kebajikan Masyarakat Kanan, RSK Taiping, Ahmad Syukri Abdul Samad, berkata terdapat 145 penghuni warga emas terdiri daripada lelaki dan perempuan dari pelbagai negeri serta berbilang bangsa di RSK Taiping.

Menurutnya syarat kemasukan di RSK ini adalah secara sukarela dan perlu melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Beliau berkata pihaknya amat berterima kasih kepada semua pihak yang prihatin dan sering berkongsi rezeki dengan penghuni RSK terutama pihak TMC yang sentiasa meraikan penghuni RSK berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 April 2023 @ 1:30 PM