ALLAHYARHAM Koperal Mohammad Nasri. FOTO  Facebook Reezal Merican Naina Merican
ALLAHYARHAM Koperal Mohammad Nasri. FOTO Facebook Reezal Merican Naina Merican
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Bedah siasat ke atas mayat Koperal Mohammad Nasri Mohd Nasib yang ditemukan maut sewaktu dalam tugasan operasi di kawasan pedalaman Hutan Simpan Belum, dekat Gerik, Jumaat lalu akibat kecederaan di kepala disebabkan terjatuh.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, mayat anggota tentera itu selesai dibedah siasat hari ini di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

"Hasil bedah siasat yang dijalankan mengesahkan punca kematiannya adalah disebabkan 'Head Injury Consistent Fall'," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Yusri berkata, selepas proses bedah siasat selesai jenazah diserahkan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Semalam, Mohd Yusri dilapor berkata, kematian anggota dari Batalion ke-25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Sri Bentong, Pahang berusia 33 tahun itu tidak membabitkan sebarang unsur jenayah atau disebabkan binatang buas.

Beliau dilapor berkata, mangsa ditemukan jam 10.15 pagi semalam berdekatan sungai.

Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang ketika menjalankan tugas operasi bersama lima anggota lain kira-kira jam 5 petang Jumaat lalu.

Kehilangan mangsa dilaporkan kepada polis hanya pada jam 12.50 tengah malam Ahad lalu.

Usaha mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan ATM bermula pada hari sama mangsa hilang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 April 2023 @ 6:42 PM