ANTHONY Loke mendengar taklimat daripada kakitangan Prasarana ketika lawatan kerja di ruangan selenggara di Kompleks Rapid Rail Lembah Subang hari ini. FOTO Bernama.
ANTHONY Loke mendengar taklimat daripada kakitangan Prasarana ketika lawatan kerja di ruangan selenggara di Kompleks Rapid Rail Lembah Subang hari ini. FOTO Bernama.
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Kerajaan melihat ada keperluan bagi mengkaji semula pelarasan gaji dan faedah sedia ada untuk pekerja berkemahiran dalam industri rel dan pengangkutan awam negara ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, beliau juga memahami industri rel dan pengangkutan negara termasuk Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menghadapi persaingan hebat dari segi mengekalkan bakat (retaining talent) atau menarik tenaga pekerja yang baik.

"Seramai 836 kakitangan Prasarana meletak jawatan pada 2022 (yang mana ia) satu kadar pusing ganti ('turnover rate' ) yang agak tinggi.

"Kadar untuk Rapid Rail adalah 6 peratus, manakala bagi Rapid Bus mencecah 11 peratus dan ini adalah situasi yang membimbangkan.

"Berdasarkan kajian dalaman, majoriti mereka yang meninggalkan Prasarana adalah kakitangan teknikal dan kapten bas yang tertarik dengan tawaran lebih lumayan oleh pengusaha bas dan rel di dalam dan luar negara termasuk Singapura serta Timur Tengah," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Lawatan dan Majlis Berbuka Puasa bersama warga Prasarana di Depoh LRT Lembah Subang di Kompleks Rapid Rail, di sini, hari ini.

Turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Azharuddin Mat Sah.

ANTHONY Loke berswafoto bersama kakitangan Prasarana. FOTO Bernama.
ANTHONY Loke berswafoto bersama kakitangan Prasarana. FOTO Bernama.

Pada lawatan berkenaan Loke turut melawat Kompleks Penyelenggaraan Laluan Kelana Jaya untuk melihat sendiri kerja penyelenggaraan tren dan berjumpa dengan kakitangan teknikal yang banyak berkongsi mengenai inisiatif yang diambil untuk memperbaiki mutu perkhidmatan rel.

Beliau berkata, menjadi tanggungjawab pihak Prasarana dan kerajaan untuk memastikan kebajikan pekerja yang berkemahiran tinggi dalam industri berkenaan sentiasa dijaga.

"Terdapat keperluan untuk mengkaji semula gaji dan faedah sedia ada agar setanding dengan pasaran.

"Ini penting untuk mengekalkan dan memastikan ketersediaan pekerja berkemahiran tinggi dalam memacu dan memperkukuhkan tahap daya saing Prasarana," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 April 2023 @ 9:08 PM