Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid & Nur Elysa Amirah Suhaimi


Cheras: Orang kurang upaya (OKU) yang menggunakan perkhidmatan rel dan bas kendalian Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) di Lembah Klang bakal menikmati tambang percuma bermula pada 1 Februari tahun hadapan.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, pada tarikh itu, semua pemegang kad OKU boleh menggunakan kemudahan transit aliran ringan (LRT), transit aliran massa (MRT), monorel dan bas di seluruh Lembah Klang secara percuma.

"Ini satu inisiatif yang penting walaupun ada implikasi kewangan kepada Prasarana kerana hasilnya (akan) berkurangan.

"Tetapi saya meminta supaya Pengerusi Prasarana untuk yakinkan Ahli Lembaga Pengarah bahawa ini satu CSR (tanggungjawab sosial korporat) penting yang perlu ditunjukkan oleh Prasana selari dengan hasrat dan prinsip Madani diperkenalkan oleh kerajaan iaitu prinsip ihsan kepada golongan OKU," katanya.

GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP

Beliau berkata demikian semasa berucap Sempena Pelancaran Projek Perintis Koc Wanita di MRT Laluan Kajang hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Noraini Ahmad serta Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad Mohd Azharuddin Mat Sah.

Mengulas lanjut, Loke berkata, dari segi pelaksanaannya seperti mekanisme pemohon kad konsesi itu akan diumumkan oleh Prasarana dalam masa terdekat.

"Mekanisme pelaksanaan tambang percuma kepada warga OKU seperti kelayakan dan syarat akan diumumkan dalam masa terdekat," katanya.

Sementara itu, Loke dalam sidang media yang diadakan selepas itu berkata, satu kad konsesi khas akan diberikan kepada golongan OKU ini.

"(Kad itu akan diberi) selepas mereka pohon dengan kaunter Rapid di stesen kita. Maka mereka boleh menikmati tambang percuma itu.

"Cuma mereka perlu buktikan bahawa mereka adalah golongan OKU dengan kad OKU yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)" katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2023 @ 12:57 PM