Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) diarahkan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan semua masalah dan isu teknikal yang dihadapi perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) dan Transit Aliran Massa (MRT).

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, langkah itu bagi membolehkan Prasarana memberikan laporan penuh kepada kementerian berhubung kekerapan perkhidmatan itu berdepan masalah teknikal, sekali gus menggusarkan pengguna.

Katanya, ia juga bagi membolehkan Prasarana mengambil langkah perlu bagi memastikan bahawa semua masalah teknikal LRT dapat diatasi sepenuhnya.

"Dalam dua minggu yang lalu, memang LRT dan MRT mengalami beberapa kerosakan dan masalah teknikal yang memberikan gangguan kepada penumpang.

"Saya berasa amat kesal dan memohon maaf atas semua penumpang yang terbabit terutamanya warga kerja yang bergegas untuk ke pulang ke rumah untuk berbuka puasa.

"Sudah tentu apa yang berlaku pada waktu puncak semalam memberikan kesan kepada ramai penumpang.

"Oleh itu, saya sudah mengarahkan Pengerusi Prasarana Tan Sri Jamaludin Ibrahim, untuk mengadakan mesyuarat khas untuk membincangkan semua masalah teknikal ini supaya langkah mengatasi segala isu teknikal dapat diambil," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan pas tanpa had MyBAS dan bas awam elektrik pertama Johor, di Terminal Pengangkutan Awam Larkin di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh.

Malam tadi, Rapid Rail dilaporkan mengaktifkan perkhidmatan rel alternatif selepas perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya mengalami gangguan bekalan kuasa jam 7.50 petang.

Rapid Rail pada kenyataan dilaporkan memaklumkan, perkhidmatan rel alternatif itu beroperasi dengan semua tren dari arah Putra Heights berpatah balik ke Stesen LRT Pasar Seni manakala tren dari arah Gombak berpatah balik ke Stesen LRT Damai.

Perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya mengalami gangguan akibat masalah bekalan kuasa membabitkan lima stesen bawah tanah antara stesen LRT Ampang Park dan Masjid Jamek.

Gangguan itu menyebabkan fasiliti seperti lif, eskalator dan lampu tidak dapat berfungsi di stesen terbabit.

Dalam pada itu, Siew Fook berkata, mesyuarat khas Prasarana itu amat penting bagi membolehkan punca utama kepada semua masalah teknikal yang berlaku dikenal-pasti sepenuhnya.

"Ini kerana, dalam tempoh dua minggu yang lalu kerap berlaku. Malam tadi di LRT laluan Kelana Jaya dan sebelum itu, pagi semalam juga berlaku di MRT laluan Kajang.

"Perkara ini sesuatu yang kita amat ambil perhatian secara serius dan saya berasa amat kesal atas apa yang berlaku.

"Sudah tentu pelbagai usaha akan dilakukan untuk memperbaiki mutu perkhidmatan LRT dan MRT," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mac 2023 @ 2:43 PM