Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Kementerian Pengangkutan menghormati keputusan lapan penumpang Transit Aliran Ringan (LRT) yang memfailkan saman terhadap Rapid Rail Sdn Bhd dan Prasarana Malaysia Berhad, pada 9 Mac lalu.

Ia membabitkan kejadian dua tren LRT Laluan Kelana Jaya bertembung sehingga menyebabkan beberapa penumpang cedera pada jam 9.15 malam, 24 Mei 2021.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, kesemua mangsa berkenaan mempunyai hak untuk memfailkan saman itu.

"Tindakan itu sejajar dengan prinsip demokrasi diamalkan negara ini untuk pihak tidak berpuas hati membawa kes itu kepada mahkamah.

"Saya tidak boleh komen banyak kerana kita adalah pihak yang disaman," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan pas tanpa had MyBAS dan bas awam elektrik pertama Johor di Terminal Pengangkutan Awam Larkin di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh.

Anthony Loke (kiri) bersama-sama menaiki bas pada Majlis Pelancaran Pas Tanpa Had Mybas50 dan Bas Elektrik bagi Program Mybas Johor Bahru di Larkin Sentral, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Anthony Loke (kiri) bersama-sama menaiki bas pada Majlis Pelancaran Pas Tanpa Had Mybas50 dan Bas Elektrik bagi Program Mybas Johor Bahru di Larkin Sentral, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Semalam, media melaporkan, lapan individu yang terbabit dalam nahas LRT laluan Kelana Jaya pada Mei 2021, memfailkan saman terhadap Rapid Rail Sdn Bhd dan Prasarana Malaysia Berhad atas dakwaan cuai kerana gagal memastikan tren beroperasi dengan selamat sehingga menyebabkan mereka mengalami kecederaan.

Kesemua plaintif iaitu Tengku Amalie Tengku Alauddin Shah, 47, Marvena Jitol, 28, Riezariel Haeqal, 23, Rozita Che Rus, 28, Ng Siow Nee, 36, Siti Nuraliah Hashim, 26, Nurul Athirah Mohd K Jabayee, 36, dan Muhammad Firdaus Mohd Saleh, 35, memfailkan saman itu menerusi Tetuan Vin Partnership di Mahkamah Tinggi, pada 9 Mac lalu dengan menamakan Rapid Rail dan Prasarana Malaysia sebagai defendan pertama dan kedua.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, kesemua plaintif yang sebelum kejadian sihat tubuh badan dan mental berkata, mereka menaiki tren laluan LRT Kelana Jaya sebelum ia melanggar sebuah lagi tren antara Stesen LRT Kampung Baru dan Stesen LRT KLCC.

Mereka mendakwa kemalangan dan pelanggaran tren yang dinaiki berlaku akibat kecuaian daripada defendan pertama dan kedua sepenuhnya dan kesemua plaintif mengalami pelbagai kerugian selain kecederaan pada tubuh badan.

Menurut plaintif, kedua-dua defendan antara lain gagal memastikan kereta api selamat untuk bergerak ke hadapan dan tiada sebarang halangan oleh kereta api lain, gagal melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) yang menyebabkan pelanggaran serta gagal memberhentikan, memperlahankan atau mengawal kereta api supaya kemalangan dapat dielakkan.

Oleh itu, mereka menuntut lebih RM860,000 sebagai ganti rugi khas, am dan teladan serta faedah sebanyak lima peratus atas kesemua jenis ganti rugi berkenaan, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Berdasarkan semakan di laman web kehakiman, pengurusan kes ditetapkan di hadapan Timbalan Pendaftar Mohamad Hafizul Awang pada 11 April ini.

Dalam kemalangan jam 8.45 malam pada 24 Mei 2021 itu, 47 penumpang tren dilaporkan parah manakala 166 mengalami kecederaan ringan apabila sebuah tren yang membawa penumpang dan sebuah tren rosak yang sedang dipandu uji bertembung antara satu sama lain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mac 2023 @ 5:04 PM