GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Noor Atiqah Sulaiman


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) sudah memanggil seramai 9,152 calon untuk ditemuduga bagi mengisi 4,914 kekosongan jawatan Pegawai Perubatan Gred UD43, Pegawai Pergigian Gred UG41 dan Pegawai Farmasi Gred UF41.

SPA dalam kenyataan memaklumkan, sesi temuduga itu dilaksanakan sejak 1 hingga 22 Mac lalu dan senarai nama calon yang hadir untuk ditemuduga oleh Kementerian Kesihatan (KKM) juga sudah dihantar untuk semakan terperinci bagi memastikan semua calon yang dilantik memenuhi syarat khusus yang ditetapkan.

"Bagi urusan pelantikan tetap bagi tahun ini, seramai 4,914 orang calon akan dilantik tetap berdasarkan kekosongan sedia ada. Baki calon yang memenuhi syarat khusus KKM tetapi tidak ditawarkan lantikan tetap pada sesi pengambilan kali ini akan dijadikan calon simpanan.

"Sekiranya terdapat kekosongan jawatan pada masa hadapan, calon simpanan ini akan dilantik sebagai tetap, manakala calon yang tidak memenuhi syarat khusus tidak akan dilantik.

"Keputusan temu duga dijadualkan pada 17 April ini menerusi emel, hebahan di portal rasmi dan Facebook SPA. Bagi surat tawaran pelantikan tetap melalui Sistem Tawaran Pelantikan (MySTP) pula akan dikeluarkan pada 2 Mei ini.

"Calon perlu membuat persetujuan penerimaan tawaran dalam tempoh 14 hari dan melengkapkan semua dokumen yang dikehendaki," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengenai calon yang dipanggil untuk temu duga, SPA berkata sebanyak 7,063 calon dipanggil bagi mengisi 4,263 jawatan Pegawai Perubatan Gred UD43 bagaimanapun daripada jumlah itu hanya 6,413 calon hadir untuk ditemuduga.

Selain itu sebanyak 335 kekosongan jawatan bagi Pegawai Pergigian Gred UG41 dengan 619 dipanggil untuk temuduga, namun yang hadir adalah sebanyak 554 calon.

Bagi jawatan Pegawai Farmasi Gred UF41, terdapat 316 jawatan untuk diisi dengan 1,470 calon dipanggil untuk temuduga, namun 1,226 calon yang hadir.

Mengulas mengenai syarat oleh KKM, SPA memaklumkan calon mestilah mengikuti syarat yang ditetapkan termasuklah sudah dilantik kontrak (Contract of Service) di KKM berdasarkan Surat Pekeliling Ketua Setiausaha KKM Bilangan 4 Tahun 2016 serta sudah menamatkan latihan siswazah di dalam atau di luar negara.

"Selain itu, calon juga mestilah lantikan kontrak mulai tahun 2016 hingga 2020 sahaja, tidak pernah meletak jawatan, tidak pernah ditamatkan perkhidmatan dan tidak pernah dikenakan tindakan tatatertib sepanjang tempoh kontrak serta tidak pernah menolak tawaran pelantikan tetap," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 April 2023 @ 6:50 PM