DR Zaliha ketika perbahasan sesi di parlimen. FOTO Bernama.
DR Zaliha ketika perbahasan sesi di parlimen. FOTO Bernama.
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Seramai 4,255 atau 17 peratus daripada 24,548 pegawai perubatan kontrak dilantik ke jawatan bertaraf tetap, setakat 31 Disember lalu.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, pertimbangan melantik pegawai perubatan kontrak secara tetap berdasarkan kekosongan jawatan tetap.

Katanya, lantikan juga mengambil kira kelayakan pegawai memenuhi syarat pelantikan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) selaku Pihak Berkuasa Melantik (PBM).

"Proses penilaian bagi tujuan pelantikan tetap dilaksanakan secara objektif, adil dan telus. "Penilaian dibuat berdasarkan prestasi tahunan dan penilaian semasa temuduga menerusi tatacara pengambilan SPA.

"Pegawai juga akan dinilai daripada aspek nilai, integriti dan keupayaan untuk bekerja secara berpasukan dan profesional untuk dilantik sebagai penjawat awam," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) mengenai apakah langkah pengisian jawatan lantikan tetap pegawai perubatan.

Katanya, sekiranya pegawai tidak dilantik tetap, pegawai itu masih berpeluang membuat permohonan ke jawatan tetap apabila terdapat kekosongan 1,500 jawatan baharu yang akan diperoleh kelak selaras dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri, 19 Januari lalu.

"Bagi tahun 2023, Kementerian Kesihatan (KKM) akan menawarkan 4,263 jawatan Pegawai Perubatan tetap untuk diisi pegawai perubatan kontrak KKM yang memenuhi syarat pelantikan ditetapkan.

"Proses pelantikan tetap pegawai perubatan lantikan kontrak bagi tahun 2023 dijangka akan selesai pada Julai 2023," katanya.

Menjawab soalan Shaharizukirnain Abdul Kadir (PN-Setiu), beliau berkata, TalentCorp menerima lebih10,000 permohonan di bawah Program Kepulangan Pakar (REP) sejak 2011.

Daripada jumlah itu, lebih 6,000 pakar diluluskan untuk kembali di bawah program ini termasuk 443 pakar dalam bidang penjagaan kesihatan merangkumi profesional dalam bidang pengurusan seperti kewangan dan pengurusan hospital," katanya.

Katanya, kementerian juga memperkenalkan Sistem Waktu Bekerja Fleksi kepada doktor pelatih bagi menyelesaikan isu golongan itu bekerja secara berterusan.

"Menerusi Sistem Waktu Bekerja Fleksi ini, tempoh masa bertugas doktor pelatih dikurangkan daripada purata 90 hingga 120 jam seminggu kepada 60 hingga 62 jam dalam seminggu.

"Oleh itu, doktor pelatih tidak perlu bertugas dalam tempoh masa panjang melebihi 24 jam

sekali gus dapat menangani isu burnout dalam kalangan mereka.

"Doktor pelatih juga tidak dibenarkan bertugas melebihi tempoh 14 jam secara berterusan dalam satu-satu sesi tanpa diberikan rehat dan tidak dibenarkan bertugas secara double duty pada hari sama, "katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mac 2023 @ 5:35 PM