Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Seorang anggota polis berpangkat Sarjan direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah daripada penagih dan pengedar dadah, tahun lalu.

Perintah reman sehingga Rabu depan itu dikeluarkan Majistret S Punitha terhadap lelaki lingkungan 40-an itu selepas membenarkan permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) di Mahkamah Majistret , di sini, hari ini.

Ia bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat mengikut Seksyen 17(a), Akta SPRM 2009 selepas difahamkan lelaki itu disyaki meminta dan menerima wang rasuah.

Lelaki itu yang difahamkan bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah, ditahan pada semalam kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah antara RM1,500 hingga RM10,000 daripada pengedar dan penagih dadah sekitar daerah Perak Tengah.

Rasuah itu dipercayai sebagai dorongan agar tidak mengganggu dan mengambil tindakan undang-undang terhadap pesalah aktiviti penyalahgunaan dadah terbabit.

Sementara itu, Pengarah SPRM Perak, Datuk Mohd Fauzi Mohamad ketika dihubungi media, mengesahkan mengenai penahanan dua lagi anggota polis berpangkat Sarjan, Rabu lalu bagi membantu siasatan kes sama

Kedua-dua Sarjan terbabit termasuk seorang wanita, ditahan reman selama lima hari oleh SPRM Perak bermula semalam sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 April 2023 @ 3:39 PM
Anggota polis berpangkat Sarjan direman selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah daripada penagih dan pengedar dadah, tahun lalu. FOTO L.MANIMARAN
Anggota polis berpangkat Sarjan direman selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah daripada penagih dan pengedar dadah, tahun lalu. FOTO L.MANIMARAN