MARYAM  (kanan) bersama keluarganya.
MARYAM (kanan) bersama keluarganya.
Oleh Redzuan Muharam

Semenyih: Ibu dua anak, Maryam Mansur pernah tiga kali ditidurkan akibat dijangkiti Covid-19 tahap lima, dua tahun lalu dan hampir meragut nyawanya.

Ditakdirkan, Maryam, 41, diberi peluang kedua untuk terus bernafas sehingga kini cuma tidak normal seperti dulu apabila disahkan sebagai orang kurang upaya (OKU) kategori mental akibat gangguan neurokognitif kesan Covid-19.

Penyakit itu menyebabkan berlaku perubahan pada suara dan tingkah lakunya yang menjadi seperti keanak-anakan.

Ujiannya tidak terhenti di situ kerana Disember lalu, Maryam disahkan pula menghidap barah darah limfoma tahap empat.

Sebelum jatuh sakit, Maryam menjaga anak sulung hasil perkahwinan suami terdahulu, Baidury Balqish Yasri, 18, yang menghidap glukoma dan duane sindrom iaitu masalah otot mata kanan serta buta mata kiri namun kini dia juga senasib dengan anaknya itu apabila tergolong dalam kategori insan istimewa.

"Punca utama saya dimasukkan ke hospital dulu adalah kerana masalah paru-paru berair namun ketika dirawat saya dimaklumkan dijangkiti Covid-19.

"Dari satu hospital saya dipindahkan ke hospital lain sebelum dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana bacaan oksigen turun sebelum ditidurkan," katanya ketika ditemui Harian Metro di pusat latihan dan asas pekerjaan OKU masalah pembelajaran dikenali Akademi Permata Impian (APIM), Seksyen 3 Bandar Rinching di sini.

Ketika ditidurkan kali pertama, Maryam tidak dapat mengingati apa yang berlaku sebaik sedar manakala kali kedua ditidurkan dia mendakwa hanya mendengar bunyi mesin bantuan pernafasan dan selepas bangun daripada ditidurkan kali ketiga, saya diminta mengucap serta cakap dengan ahli keluarga buat kali terakhir.

"Waktu itu, saya memang tak nak cakap dengan sesiapa kerana sudah reda jika umur tak panjang," katanya

Berhubung barah dihidapinya, Maryam berkata, keadaan badannya amat lemah hingga tidak dapat menguruskan diri sendiri.

"Awalnya dulu, jalan kena berpimpin, dipapah, dimandikan dan makan pun emak yang suapkan.

"Waktu itu, baru saya tahu macam mana perasaannya bergelar OKU yang duduk di kerusi roda.

"Nak makan pun tak berselera. Bila disuruh makan, saya berasa nak marah dan boleh katakan bercampur baur perasaan ketika itu," katanya yang juga ada masalah hilang keseimbangan badan.

Meskipun diuji masalah kesihatan, Maryam berkata, tidak semua memahami penderitaannya, malah ada yang mengatakan dia berpura-pura sakit demi mendapat perhatian.

"Tak semua simpati kerana ada segelintir menghina dan perli saya. Jika diberi pilihan, saya pun tak nak hidup macam ini kerana letih mental fizikal, tetapi apakan daya, kehidupan perlu diteruskan.

"Kini, masa saya banyak dihabiskan di APIM dan anak OKU di situ yang beri saya kekuatan untuk terus mengambil semangat mereka sampai ke hari ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 April 2023 @ 7:10 AM