SEBANYAK 1,360kg minyak masak bersubsidi yang dianggarkan bernilai RM3,400 dijumpai dalam Perondua Alza yang ditinggalkan. FOTO Siti Rohana Idris
SEBANYAK 1,360kg minyak masak bersubsidi yang dianggarkan bernilai RM3,400 dijumpai dalam Perondua Alza yang ditinggalkan. FOTO Siti Rohana Idris
Siti Rohana Idris


Tumpat: Menyedari diekori pihak berkuasa, seorang lelaki bertindak memberhentikan kenderaan dan cuba memanjat penghadang jalan untuk melarikan diri daripada ditahan kerana menyeludup minyak masak bersubsidi.

Dia bagaimanapun gagal memanjat penghadang jalan itu dan mencuba laluan di celah bangunan, namun malang apabila dompetnya yang berisi kad pengenalan tercicir.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail berkata, pihaknya kini sedang mengesan lelaki itu yang berusia 33 tahun, beralamat di Kampung Bendang Pak Yong, Pengkalan Kubor untuk siasatan mengikut Akta Bekalan 1961.

"Dalam kejadian 12.10 tengah hari semalam, pasukan yang menjalankan Operasi Pencegahan Ketirisan Barang Kawalan bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor mengesan kenderaan suspek yang mencurigakan serta mengekorinya.

"Ketika tiba di Bulatan Pasir Pekan, di sini, suspek memecut sebelum keluar dari kenderaan untuk melarikan diri dan meninggalkan sejumlah kotak dalam Perodua Alza, mengandungi 1,360kg minyak masak dianggarkan RM3,400," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, dompet suspek yang tercicir membolehkan pihaknya menjejaki lelaki itu berdasarkan maklumat kad pengenalan.

Katanya, tindakan tegas akan diambil dan pihaknya tidak kompromi dengan mana-mana individu yang terbabit aktiviti penyelewengan barang kawalan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mac 2023 @ 12:10 PM