ANGGOTA APM menangkap ular sawa. FOTO Ihsan APM
ANGGOTA APM menangkap ular sawa. FOTO Ihsan APM
Razif Rosli
am@hmetro.com.my


ULAR sawa batik yang membaham seekor ayam dalam reban di Taman Manorama Fair Park, Ipoh, berjaya ditangkap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), hari ini.

Kehadiran ular sepanjang hampir tiga meter dan dianggarkan seberat 20 kilogram berkenaan di reban ayam itu disedari pemiliknya, M Sivayanam, 40, sekitar 8.25 pagi sebelum melaporkannya kepada pihak APM.

Reptilia itu ditangkap sepasukan empat anggota APM yang bergerak ke lokasi sejurus menerima maklumat dan tiba di tempat kejadian 15 minit kemudian.

Pegawai APM Daerah Kinta, Kapten (PA) Muhammed Ameen Salleh Mura berkata, setibanya anggota ke lokasi kejadian, ular terbabit sudah pun menelan seekor ayam dan bersembunyi dalam tong.

"Empat anggota APM mengambil masa kira-kira 10 minit untuk menangkap ular sawa itu menggunakan penjerut.

"Ular itu dipercayai keluar dari semak berhampiran dan ketika cuba ditangkap, ia tidak bertindak agresif kerana ruang yang sempit di dalam tong plastik terbabit," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, ular yang ditangkap itu kemudian dibawa balik ke pejabat APM Kinta sebelum dilepaskan reptilia itu ke habitat asalnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2018 @ 4:12 PM