ULAR sawa menelan seekor kambing di Kampung Muhibah di Beserai, Batu Pahat. FOTO Ihsan Bomba
ULAR sawa menelan seekor kambing di Kampung Muhibah di Beserai, Batu Pahat. FOTO Ihsan Bomba
Adnan Ibrahim


PASUKAN Bomba dan Penyelamat menunggu hampir setengah jam sebelum menangkap ular sawa sepanjang hampir 5.4 meter ketika reptilia itu menyerang kandang kambing di Kampung Muhibah, Peserai di Batu Pahat, pagi hari ini.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Pahat, Ridwan Gembur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9 pagi memaklumkan ular sawa itu masuk ke dalam kandang kambing di kampung berkenaan.

Berikutan itu, katanya, sepasukan tujuh anggota dari BBP Batu Pahat membabitkan satu jentera dikejarkan ke lokasi bagi menangkap ular berkenaan.

“Apabila tiba, kami dapati ular itu sudah menelan seekor kambing dan anggota kami ‘mengganggu’ ular berkenaan menggunakan kayu dan besi supaya ia memuntahkan semula kambing yang ditelan itu.

“Kami terpaksa berbuat demikian kerana penjerut ular yang digunakan tidak muat untuk menangkap ular berkenaan ketika kambing masih berada di dalam perutnya,” katanya.

Ridwan berkata, kira-kira 25 minit kemudian, ular berkenaan memuntahkan semula bangkai kambing sebelum pasukan itu berjaya menangkap ular berkenaan.

Katanya, selepas ditangkap ular seberat kira-kira 160 kilogram itu dihantar ke Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Batu Pahat untuk tindakan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Oktober 2019 @ 5:15 PM