Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menumpaskan satu sindiket pemalsuan dokumen permit masuk menerusi dua operasi berasingan di sekitar daerah ini pada 29 Mac 2023 dan semalam.

Dalam serbuan dinamakan Operasi Bersepadu Serkap membabitkan enam pegawai penguat kuasa dari Unit Risikan JIM Sabah menahan enam individu termasuk seorang daripada disyaki dalang sindiket berkenaan.

Pengarah JIM Sabah, Datuk Sharifah Sitti Saleha Habib Yussof berkata, hasil risikan dan pemantauan pegawai penguat kuasa selama sebulan, serbuan pertama dibuat jam 10.30 malam pada 29 Mac lalu di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sembulan Lama.

Katanya, seramai tiga lelaki dan dua wanita berusia 24 hingga 52 tahun masing-masing yang didapati memiliki permit masuk disyaki palsu ditahan dalam serbuan itu.

"Hasil serbuan itu, pegawai penguat kuasa merampas 28 keping permit masuk disyaki palsu, 16 keping surat arahan pembayaran permit masuk yang disyaki palsu, 15 keping resit pembayaran permit masuk disyaki palsu, wang tunai jumlah RM2,268.

"Turut dirampas dua komputer riba, empat telefon bimbit, borang permohonan IMM13, stamp pad, resit pembayaran pendaftaran MyKad dan cabutan daftar kad pengenalan yang disyaki palsu," katanya dalam sidang media di ibu pejabat JIM Sabah, di sini, hari ini.

Sharifah Sitti Saleha berkata, susulan serbuan itu, JIM menahan seorang lagi wanita di kawasan Riverside Sembulan pada 1 petang, semalam.

Katanya, suspek berusia 59 tahun itu didapati memiliki 18 resit pembayaran pendaftaran kad pengenalan MyKad yang disyaki palsu dan wang tunai sebanyak RM744.

"Penahanan itu membawa kepada penggeledahan sebuah rumah di Kuala Manggatal dan menemui lapan resit rasmi pembayaran JIM, lapan surat arahan pembayaran permit masuk yang disyaki palsu.

"Turut dirampas, 15 borang permohonan kad pengenalan lengkap dengan gambar dan cap jari serta dua keping borang permohonan kad pengenalan.

"Wanita terbabit disyaki kemungkinan antara dalang dalam sindiket ini dan JIM Sabah masih mengesan seorang lagi dalang disyaki berada di luar Sabah," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, modus operandi sindiket adalah menawarkan bayaran secara berperingkat bagi memperoleh permit masuk kepada warga asing.

"Sindiket ini dipercayai menawarkan permit masuk kepada warga asing secara berperingkat bermula dengan bayaran sekitar RM100 hingga RM800.

"Sindiket yang disyaki sudah beroperasi sejak April tahun lalu itu dipercayai mengaut keuntungan sekitar RM60,000 hingga RM100,000," katanya.

Sharifah Sitti Saleha berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 55D dan Seksyen 56 (1)(I) Akta Imigresen 1959/63.

"JIM tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang melanggar undang-undang serta tindakan tegas termasuk memastikan hukuman berat akan dikenakan pada mereka yang terlibat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2023 @ 4:35 PM
SHARIFAH Sitti Saleha (dua kanan) menunjukkan dokumen permit palsu selepas menahan enam individu menerusi Operasi Bersepadu Serkap di Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan.
SHARIFAH Sitti Saleha (dua kanan) menunjukkan dokumen permit palsu selepas menahan enam individu menerusi Operasi Bersepadu Serkap di Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan.