Mustafar menunjukkan rampasan barangan sindiket pemalsuan dokumen warga Bangladesh. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Mustafar menunjukkan rampasan barangan sindiket pemalsuan dokumen warga Bangladesh. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Nursyahirah Marzuki


DUA lelaki warga Bangladesh termasuk seorang yang digelar Harun 2.0 ditahan petang semalam kerana terbabit dalam sindiket membawa pekerja asing secara haram ke negara ini.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Datuk Seri Mustafar Ali berkata, kedua-dua suspek yang berusia lewat 30-an ditahan selepas sepasukan Bahagian Operasi, Siasatan dan Pendakwaan melakukan serbuan ke atas sebuah premis di Pandan Indah, Ampang, Selangor.

Beliau berkata, suspek turut dipercayai menjalankan aktiviti berkenaan dengan berselindung di sebalik perniagaan sektor pembinaan, import, eksport dan perniagaan am.

"Bertindak atas maklumat orang awam, kita berjaya menumpaskan sindiket membawa pekerja asing secara tidak sah berselindung di sebalik syarikat perniagaan yang diusahakan mereka bersama warga tempatan.

"Hasil pemeriksaan yang dilakukan, kita menemui sebanyak 258 pasport Bangladesh; dua pasport Indonesia, 26 keping E-Kad dan 11 cop getah kedutaan asing yang disyaki palsu digunakan suspek dalam menjalankan sindiket ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan NTL Holding Lounge Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) Datuk Badlisham Ghazali.

Mustafar berkata, dalam serbuan kira-kira 5.30 petang itu, pihaknya turut menemui pelbagai dokumen lain termasuk buku resit pembayaran dan wang tunai sebanyak RM1,600.

"Kita juga merampas sebuah komputer yang digunakan untuk membuat permohonan pekerja asing dan juga memalsukan kelulusan pekerja asing," katanya.

Menurutnya, sindiket berkenaan menawarkan perkhidmatan permohonan baru dan lanjutan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) kepada majikan yang berurusan dengan mereka pada kadar bayaran tertentu.

"Siasatan juga mendapati sindiket itu turut menguruskan pasport dari Bangladesh dan menguruskan kemasukan warga Bangladesh melalui jalan tikus bagi mendapatkan PLKS dengan menggunakan cop kedutaan asing disyaki palsu.

"Tangkapan ini juga membawa kepada penemuan rangkaian tertentu termasuk pembabitan warga tempatan yang disyaki bersekongkol dengan pihak tidak bertanggungjawab," katanya.

Dalam pada itu, Mustafar berkata, pihaknya akan memburu setiap pemilik pasport yang ditemui dalam serbuan itu untuk tindakan selanjutnya.

Terdahulu, Mustafar merasmikan ruangan menunggu baru bagi menempatkan individu yang dikenakan Notis Penolakan Masuk (NTL) di KLIA yang dikendalikan Mono Circle Sdn. Bhd.

"Ruangan ini boleh memuatkan kira-kira 150 hingga 200 orang dalam satu masa sekaligus membolehkan individu yang dikenakan NTL menunggu dengan lebih selesa dan diberikan pelbagai kemudahan disediakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2018 @ 7:19 PM