PERALATAN digunakan untuk membuat pasport palsu negara  Bangladesh yang dirampas ketika serbuan di sebuah apartmen di Desa Tun Razak.
PERALATAN digunakan untuk membuat pasport palsu negara Bangladesh yang dirampas ketika serbuan di sebuah apartmen di Desa Tun Razak.
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Dalang yang juga pakar membuat pasport palsu warga Bangladesh ditahan dalam serbuan di sebuah apartmen di Desa Tun Razak, di sini, Rabu lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Datuk Seri Mustafar Ali berkata, serbuan rumah lelaki berusia 41 tahun itu dilakukan hasil risikan Bahagian Perisikan, Operasi Khas dan Analisa JIM.

“Lelaki yang juga dalang sindiket pemalsuan dokumen pakar membuat pasport palsu membabitkan Bangladesh, Pakistan dan Indonesia. Malah, dia pakar mengubah suai pasport tamat tempoh atau milik orang lain mengikut kehendak pelanggan.

“Selain membuat pasport, lelaki terbabit membuat pelekat pas lawatan kerja sementara (PLKS) palsu dan Kad Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) palsu.

“Dia menjual pasport dengan harga RM300 hingga RM500 setiap satu. Pelekat PLKS dijual pada harga RM150 hingga RM200 manakala kad CIDB pula berharga antara RM30 hingga RM50,” katanya.

Mustafar berkata, hasil serbuan pihaknya menemui satu mesin pencetak, mesin pengimbas, satu cop keluar Malaysia palsu, satu cop masuk Malaysia palsu, satu cop rasmi JIM (Bahagian Penguatkuasa Putrajaya) palsu, lima cop Kedutaan Bangladesh Kuala Lumpur palsu dan peralatan membuat dokumen palsu.

“Siasatan membawa kepada serbuan di sebuah rumah yang dijadikan sebagai markas untuk membuat dokumen palsu. Lokasi rumah kedua juga berada di kawasan sama.

“Serbuan di lokasi kedua mendapati kediaman itu tiada penghuni. Hasil penggeledahan, kami menemui satu mesin laminating, satu money detector dan bahan serta peralatan,” katanya.

Beliau berkata, sindiket licik ini menjalankan kegiatan dengan menyewa dua rumah untuk dijadikan sebagai markas namun tidak menetap di situ.

“Sindiket didapati aktif melakukan pemalsuan dokumen sejak tiga tahun lalu di sekitar Lembah Klang dan dianggarkan menjana keuntungan RM50,000 hingga RM80,000,” katanya.

Katanya, lelaki terbabit ditahan mengikut Seksyen 56 (1A) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan beberapa tangkapan susulan akan dilakukan bagi melumpuhkan rantaian sindiket berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Jun 2018 @ 6:10 AM