PEGAWAI penguatkuasa melakukan pemeriksaan terhadap kad pengenalan.
PEGAWAI penguatkuasa melakukan pemeriksaan terhadap kad pengenalan.
Nurul Hidayah Bahaudin


Port Dickson: Empat individu ditahan dalam serbuan dilakukan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sini, awal pagi hari ini kerana disyaki menggunakan kad pengenalan palsu, manakala dua lagi menggunakan kad pengenalan milik orang lain.

Seorang lelaki warga Filipina berusia 33 tahun yang ditahan kerana menggunakan kad pengenalan milik orang lain, mengaku dia membeli dokumen itu daripada rakannya pada harga RM350.

"Saya minta tolong kawan dapatkan kad pengenalan kerana saya mahu bekerja. Sekarang susah untuk bekerja guna pasport dan sudah lebih setahun saya menganggur.

"Saya baru sahaja beberapa bulan guna kad pengenalan ini dan saya tidak menggunakannya untuk mendaftar MySejahtera bagi mendapatkan vaksin. Saya guna kad pengenalan itu hanya dapatkan kerja," katanya.

Seorang lagi lelaki rakan senegaranya berusia 45 tahun memaklumkan dia menggunakan kad pengenalan milik orang lain yang diberi rakannya sejak dua tahun lalu.

"Saya guna kad pengenalan ini untuk mendaftar kad pekerja, ambil ujian saringan Covid-19 dan mendaftar di MySejahtera, namun belum berdaftar untuk mendapatkan vaksin," katanya yang pernah bekerja sebagai pekerja kontrak.

Dalam operasi bermula 12.30 tengah malam itu, seorang lelaki warga Filipina bertindak nekad dengan memanjat bumbung rumah sewanya di Taman Jimah Jaya di sini, bagi mengelak ditahan dalam serbuan terbabit.

Tindakan lelaki berusia 40-an itu disedari selepas pegawai imigresen berasa curiga dengan keadaan di rumah berkenaan sebelum melakukan pemeriksaan di siling rumah itu dan melihat individu terbabit melarikan diri di bumbung.

Selepas beberapa minit dikejar pegawai imigresen yang turut memanjat bumbung rumah itu, lelaki itu akhirnya berjaya ditahan dan dibawa turun dari bumbung berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN Nooruladzim Ateman berkata, 48 pegawai JPN dan JIM terbabit dalam operasi berkenaan.

"Dalam serbuan ini, kami menahan enam individu dengan empat daripada mereka disyaki menggunakan kad pengenalan palsu, manakala dua lagi menggunakan kad pengenalan milik orang lain.

"Seorang daripada enam lelaki ditahan didapati berasal dari Sabah dan semakan mendapati dia pernah memiliki kad pengenalan berwarna hijau (pemastautin sementara) yang tamat tempoh pada 2019.

"Ketika pemeriksaan dilakukan, kami mendapati lelaki berusia 47 tahun berkenaan memiliki kad pengenalan berwarna biru yang disyaki palsu," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan.

Menurutnya, empat lagi individu warga Filipina termasuk kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun serta kakaknya berusia 16 tahun turut ditahan pihak JIM kerana didapati tidak mempunyai dokumen sah.

"Semua enam individu yang direman selama tiga hari untuk siasatan lanjut mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 September 2021 @ 12:50 PM