AHLI panel, Muhammad Naim Islam (dua dari kanan) menyampaikan mesej pada forum Wacana Minda BersamaPendakwah bersama Fitri (kiri), Zulkarnain (dua dari kiri) dan Ayob (kanan).
AHLI panel, Muhammad Naim Islam (dua dari kanan) menyampaikan mesej pada forum Wacana Minda BersamaPendakwah bersama Fitri (kiri), Zulkarnain (dua dari kiri) dan Ayob (kanan).
Oleh Mohd Syahril Rosdi Ahmad Zahudi


Dakwah menjadi wadah penyampaian paling berkesan bagi membina sahsiah Mukmin dan melahirkan pendakwah dalam kalangan Saudara Muslim India.

Berikutan itu, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Selangor dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menganjurkan Program Syura Pendakwah Saudara Muslim India Peringkat Kebangsaan 2016 di Shah Alam, dari 26 hingga 28 Februari lalu.

Program yang menghimpunkan 55 Saudara Muslim berketurunan India dari seluruh Semenanjung itu mendapat sokongan PERKIM Kebangsaan.

Pengarah program Amran Abdullah berkata, majlis itu menghimpunkan pendakwah Saudara Muslim India dari seluruh Malaysia bagi membincangkan kaedah berkesan yang akan mereka gerakkan di negeri masing-masing.

Program itu menjadi medan percambahan idea dalam kalangan pendakwah untuk menyelaras tugas dengan lebih berkesan sejajar dengan misi memperkenalkan Islam sebagai agama sempurna kepada masyarakat India di Malaysia.

Beliau berkata, program itu cetusan idea beberapa pendakwah dan Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM untuk menjalankan gerak kerja tersusun dalam kalangan pendakwah Saudara Muslim India di seluruh negara.

“Sekurang-kurangnya program ini dapat mengenal pasti kelemahan dan tahap pelaksanaan kerja dakwah yang dilakukan selama ini.

“Program itu menggunakan sepenuhnya bahasa ibunda (Tamil) bagi melancarkan komunikasi dan kefahaman dan ia antara alternatif untuk mendedahkan pelbagai ilmu dakwah kepada masyarakat India,” kata.

Amran selaku kakitangan Unit Perancangan, Penyelarasan dan Pelaksanaan PERKIM Kebangsaan berkata, pendakwah turut diberi peluang memberi idea bagi memperkasakan pendekatan dakwah kepada Saudara Muslim India dan masyarakat India khususnya.

Pendakwah turut diberi peluang berkongsi pengalaman masing-masing untuk merangka strategi terkini.

Sementara itu, Eksekutif Unit Latihan dan Perkaderan MAIS Ahmad Fauzi Siva Abdullah berkata, program itu berjaya menyatukan pendakwah mualaf India dengan lebih teratur, kemas dan efektif.

Beliau berkata, pihaknya turut membantu jabatan dan agensi agama memartabatkan dakwah dengan memperkukuhkan akidah ummah melalui pembudayaan ilmu dan pentarbiyahan komprehensif seperti yang termaktub dalam Pelan Tindakan Dakwah Negara 2015-2019 yang diwartakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Cetusan idea dan percambahan fikiran dalam kalangan Saudara Muslim India menyatukan mereka dalam satu fikrah.

Sesi taklimat dan taaruf (suai kenal) disampaikan Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM, Muhammad Fitri Abdullah.

Fitri yang juga Naib Pengerusi Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM Selangor turut memimpin slot beng­kel kaedah berdakwah berkesan.

‘Wacana Minda Bersama Pendakwah’ menjadi tajuk forum dipengerusikan Muhammad Fitri yang disertai tiga ahli panel iaitu mantan paderi, Ayob Abdul Rahman, Muhammad Naim Islam Abdullah dari Pusat Latihan dan Bimbingan Saudara Baru (PUSBA) dan Mohd Zulkarnain Abdullah dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).

Bagi menyuntik sema–ngat kepada pendakwah, ‘Bengkel Hala Tuju Dakwah Untuk Masyarakat India’ disampaikan Pengerusi Hidayah Centre Foundation, Nicholas Sylvester Muhammad Abdullah.

Perasmikan majlis dilakukan Pengarah Pembangunan Sosial Sektor Pembangunan Sosial MAIS Ahmad Shahir Makhtar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mac 2016 @ 10:54 AM