MOHD Shahizan (dua dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada pendakwah Orang Asli.
MOHD Shahizan (dua dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada pendakwah Orang Asli.
Mohd Syahril Rosdi Ahmad Zahudi


Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) menganjurkan program Syura Pendakwah Saudara Muslim Orang Asli peringkat kebangsaan di Klang, Selangor, baru-baru ini.

Ia bagi memperkasakan kefahaman Islam dalam menyampaikan dakwah secara bijaksana dan mengenal pasti halangan pendakwah saudara Muslim Orang Asli.

Program itu selama dua hari itu diadakan dengan kerjasama Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Pertubuhan Mualaf Malaysia.

Pada masa sama turut menghimpunkan 40 pendakwah saudara Muslim Orang Asli seluruh Malaysia dari 10 suku kaum iaitu Temuan, Temiar, Mahmeri, Kensiu, Jah Het, Semelai, Semai, Semaq Beri, Seletar dan Jakun.

Pengarah program, Amran Anbarasu Abdullah berkata PERKIM sentiasa memastikan pendakwah dalam kalangan Orang Asli turut bersama-sama berkongsi pengalaman menyampaikan dakwah dan masalah dihadapi ketika berdakwah.

“Ia julung kali diadakan dan hasil cetusan idea rentetan dua majlis syura mualaf Cina dan India.

“Program ini bertujuan memberi semangat kepada pendakwah untuk memperkasakan kerja dakwah dengan pendekatan Islam ‘Rahmatan Lil Alamin,” katanya kepada Nuansa.

Katanya, ia diharap menjadi program tahunan yang dikendalikan pendakwah Orang Asli sendiri kerana mereka lebih memahami budaya masyarakat itu dan lebih tahu pendekatan yang sesuai.

“Pegangan fahaman animisme dalam kehidupan masyarakat Orang Asli sudah terlalu lama diwarisi, jadi untuk mengubahnya mengambil masa dan perlukan pendidikan agama Islam berterusan.

“Ini tidaklah bermakna satu tugas yang sukar, tapi saya percaya kalau kita mengambil berat soal kebajikan Orang Asli, lambat laun kita akan memperoleh kepercayaan mereka,” katanya.

Menurutnya, transformasi pemodenan Orang Asli dilihat semakin bergerak maju bukan saja dalam aspek kemudahan infrastruktur dan pendidikan, malah pengetahuan agama.

Program ini dilihat sebagai salah satu cara untuk pendakwah dalam kalangan masyarakat Orang Asli untuk berkongsi pengalaman, ilmu dan teknik menyampaikan dakwah serta bagaimana mencari jalan penyelesaian terhadap sesuatu isu yang pun berlaku.

Turut diadakan sesi ceramah disampaikan pendakwah Misi As-Syahadah, Mohd Fadli Yusof bertajuk Kembara Seorang Daie.

Sementara tajuk Peranan Daie Orang Asli Dalam Konteks Masyarakat Malaysia pula disampaikan Pengerusi Perkim Bahagian Negeri Terengganu, Prof Dr Ramle Abdullah dan Jasni Ajom menyampaikan slot Masam-Masam Manis.

Pendakwah diberi peluang untuk berbincang dan berusaha memberikan resolusi untuk dibentangkan dan dilihat sangat penting dalam usaha membangunkan masyarakat Orang Asli yang terdiri daripada pelbagai suku kaum.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2018 @ 12:47 PM