Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Isu keselamatan golongan gelandangan antara perkara yang dititikberatkan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp) bagi mengelak insiden tidak diingini berlaku kepada mereka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, pihaknya sedia maklum beberapa insiden berlaku terhadap golongan gelandangan seperti penemuan mayat serta kes pukul yang dilaporkan, baru-baru ini.

"Apa yang mereka perlukan adalah tempat berlindung kerana apabila berada di luar sana, mereka terdedah kepada pelbagai kerenah orang, selain isu lain seperti gelandangan uzur.

"Sebagai manusia biasa, mereka mungkin ada buat silap atau terambil barang orang lain menyebabkan ada yang marah sehingga memukul," katanya ketika ditemui pada Program Jejak Gelandangan yang diadakan dengan kerjasama Pertubuhan Jejak Jalanan di Chow Kit, di sini, awal pagi tadi.

Mohd Na'im berkata, pihaknya akan meneliti permasalahan berkenaan dan berusaha untuk mencari tempat berlindung buat golongan gelandangan beragama Islam.

"Kalau kita boleh cari tempat untuk mereka berteduh, berlindung dan duduk di rumah untuk mengelak perkara sedemikian.

"Selain itu, anak-anak mereka juga akan rasa selamat dan dapat menjaga kebersihan apabila duduk di rumah, berbanding ketika berada di jalanan.

"Jadi, Insya-Allah isu keselamatan (golongan gelandangan) akan dapat diatasi dan ia adalah perkara yang pihak Maiwp sedang uruskan," katanya.

Beliau berkata, Maiwp akan bekerjasama dengan pelbagai agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi membantu asnaf itu.

"Ada banyak kerjasama yang kita boleh buat dengan agensi-agensi ini termasuk dari segi peruntukan dan penyaluran bantuan kepada golongan terbabit.

"Pada asasnya, saya setuju Maiwp sebagai peneraju penyelarasan penyampaian sumbangan kepada golongan terkesan bagi mengelakkan berlaku pertindihan.

"Ia juga memastikan supaya agihan sumbangan kepada golongan berkenaan lebih sistematik, teratur dan berkesan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2023 @ 9:45 AM
Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar (tengah) menyampaikan sumbangan kepada gelandangan ketika Program Jejak Gelandangan Bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dengan kerjasama Pertubuhan Jejak Jalanan di Chow Kit, Kuala Lumpur. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar (tengah) menyampaikan sumbangan kepada gelandangan ketika Program Jejak Gelandangan Bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dengan kerjasama Pertubuhan Jejak Jalanan di Chow Kit, Kuala Lumpur. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM