Nur Izzati Mohamad

Nibong Tebal: Kementerian Pendidikan (KPM) sekali lagi menegaskan tiada penutupan kantin sekolah sepanjang Ramadan, malah menyarankan premis itu dibuka untuk menyantuni murid bukan Islam dan mereka yang tidak berpuasa.

Menterinya Fadhlina Sidek meminta semua pihak menyambut pendirian kementerian dan memainkan peranan dengan sebaiknya.

"Saya mohon memandangkan kita dah keluarkan pendirian begitu, maka diminta ibu bapa dan juga pihak sekolah untuk pantau perkara ini.. tak boleh berlaku dalam konteks kita sudah keluarkan pandangan dan saranan, tapi tak disambut oleh pihak sekolah dan ibu bapa," katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Iftar bersama pelajar serta komuniti setempat di Pusat Islam Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM), di sini, malam ini.

Fadhlina berkata, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) perlu memainkan peranan supaya ada ruang untuk kanak-kanak yang tidak berpuasa untuk makan.

"Seperti yang ditegaskan sebelum ini, tempat itu mestilah tempat sesuai untuk mereka (murid) makan.

"Saya tidak mahu mereka makan di stor atau tempat-tempat yang tidak sesuai untuk mereka makan, yang keadaan ini mesti dipantau pihak sekolah dan PIBG," katanya.

FADHLINA beramah mesra dengan pelajar yang hadir pada Majlis Iftar di Pusat Islam Kampus Kejuruteraan USM malam tadi. FOTO Nur Izzati Mohamad.
FADHLINA beramah mesra dengan pelajar yang hadir pada Majlis Iftar di Pusat Islam Kampus Kejuruteraan USM malam tadi. FOTO Nur Izzati Mohamad.

Beliau juga menyarankan semua pihak untuk tidak memaksa murid khususnya Tahun Satu berpuasa sekiranya ia boleh menjejaskan kesihatan mereka.

Katanya, terdapat murid berusia tujuh tahun yang dipaksa berpuasa di sekolah namun mengakibatkan mereka keletihan serta tidak mampu menyempurnakan ibadah itu.

"Di sekolah kena ada pantauan. Kalau guru lihat murid itu tak cukup air atau mengalami masalah kesihatan lain atau tidak bersedia untuk berpuasa, saya minta bincang dengan ibu bapa murid terbabit supaya ada proses pendidikan, (berhubung ibadah puasa) yang mereka tidak boleh dipaksa sekiranya tidak mampu.

"Ibu bapa dan guru mesti ada komunikasi bagaimana untuk mendidik proses berpuasa itu kerana perkara ini (puasa) adalah berkaitan dengan ekosistem (persekitaran) yang ia amat penting," katanya.

Sebelum ini terdapat ibu bapa yang meluahkan kekecewaan di Twitter mengenai desakan guru yang memaksa anak mereka khususnya di Tahun Satu untuk berpuasa meskipun tidak berkemampuan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mac 2023 @ 11:23 PM