Rohaniza Idris


Kuala Lumpur: Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menegaskan arahan pembukaan kantin sekolah pada bulan puasa termaktub dalam Pekeliling Pengurusan Kantin Sekolah, ia perlu dibuka sepanjang sekolah beroperasi.

Justeru, katanya arahan meminta kantin sekolah dibuka sepanjang Ramadan bukan dasar baharu dan ia hanya dilaksanakan khusus untuk sekolah yang mempunyai pelajar bukan Islam.

"Saya tidak mahu, ada anak bukan Islam dan tidak berpuasa ini makan dalam stor, makan di tempat yang tidak wajar, sedangkan semua sekolah ada kantin, jadi mereka harus pergi kantin untuk makan.

"Bagi pelajar Islam pula yang berpuasa akan diuruskan guru mereka, tiada masalah langsung dalam urusan ini dan paling penting membina ekosistem berkaitan saling memahami, memperkuat, memperkukuh dan menghormati satu sama lain," katanya ketika menggulung perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) membangkitkan isu pembukaan kantin sekolah sepanjang bulan puasa seperti yang diumumkan Fadhlina Isnin lalu.

Fadhlina menjelaskan persoalan mengenai pembukaan kantin itu juga pernah dikemukakan tahun lalu dan ia bukan isu baharu.

Beliau turut menegaskan pemakaian uniform sekolah seperti yang diumumkan sebelum ini hanya satu pemakluman dan peraturan itu sudah dilaksanakan sebelum ini.

"Mengenai pakaian ini bukan proses baharu, tiada masalah kerana menjadi amalan biasa sebelum ini pun,

"Kita umumkan keputusan ini kerana ini adalah proses yang mana kita laksanakan dua hari pakai uniform, dua hari pakaian sukan dan sehari pakaian seragam kokurikulum, tiada masalah kerana ia menjadi amalan biasa sebelum ini," katanya.

Sementara itu, mengenai sekolah vernakular, katanya, ia dibenarkan dan diiktiraf mengikut Akta Pendidikan dan tidak timbul isu sekolah berkenaan menggunakan silibus yang berbeza dengan sekolah kebangsaan.

"Sekolah vernakular ini sekolah yang diiktiraf di bawah Akta Pendidikan yang mana antara lain untuk memperkukuhkan bahasa ibunda masing-masing di sekolah itu, jadi tiada isu langsung sekolah ini ada masalah dan mengikuti silibus yang berbeza.

"Silibusnya sama silibus KPM, jadi jangan buat tuduhan yang bersifat ghulu (berlebih-lebihan) di dewan ini jika tiada fakta. Silibus sama , tiada masalah malah Akta Pendidikan benarkan dan keputusan mahkamah baru-baru ini pun benarkan," katanya.

Dalam penggulungan yang sama, Fadhlina menjelaskan selagi beliau masih Menteri Pendidikan, beliau akan memastikan Bahasa Melayu tidak ditindas dan sentiasa dimartabatkan di bawah langit dan bumi Malaysia.

"Saya sudah mengarahkan Dewan Bahasa dan Pustaka memberikan tumpuan sepenuhnya dalam program memperkasa dan memartabatan bahasa Melayu.

"Dalam masa yang sama, saya menegaskan penggunaan bahasa Melayu menjadi kewajipan dan komitmen besar kementerian dan semua pelajar boleh berbahasa Melayu dengan baik," katanya

FADHLINA pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO Bernama
FADHLINA pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2024 @ 4:55 PM