SUASANA di Makkah pada Mei lalu. FOTO AFP
SUASANA di Makkah pada Mei lalu. FOTO AFP
Rosyahaida Abdullah


SUSULAN penangguhan ibadat haji untuk rakyat Malaysia tahun ini, umat Islam dinasihat tidak berurusan dengan pihak tertentu untuk menunaikan ibadat itu menggunakan visa Furada.

Lembaga Tabung Haji (TH) berkata, untuk musim haji tahun ini, pihaknya meluluskan lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) kepada 24 syarikat agensi pelancongan dan sehingga kini seramai 2,200 bakal jemaah memilih menunaikan ibadat itu menggunakan pakej disediakan PJH yang dilesenkan oleh TH dan anak syarikatnya iaitu TH Travel & Services (THTS).

Susulan itu, TH menjelaskan, tiada sebarang kuota khas diperuntukkan kepada mana-mana PJH atau agensi pelancongan swasta lain selain daripada 24 syarikat terbabit.

"Berikutan nasihat Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi pada 6 Mac lalu untuk menangguhkan sebarang komitmen kewangan berkaitan haji bagi musim 1441 Hijrah (2020), TH mengambil langkah memaklumkan perkara sama kepada semua 24 pengelola jemaah haji yang diberi lesen untuk tujuan ibadat ini.

"Hasil maklum balas yang diterima, semua 24 PJH terbabit sudah membuat perancangan sewajarnya berkaitan sewaan hotel penginapan manakala urusan penerbangan belum dimuktamadkan," kata kenyataan TH, hari ini.

TH berkata demikian sebagai merujuk dakwaan kerugian besar yang dialami oleh 51 agensi pengelola haji swasta akibat keputusan kerajaan menangguhkan ibadat haji pada tahun ini.

Dalam pada itu, TH berkata, keputusan kerajaan untuk menangguhkan ibadat haji dibuat demi keselamatan dan kesihatan rakyat Malaysia khususnya bakal jemaah itu sendiri.

"Penangguhan ini tentunya membabitkan semua bakal haji termasuk yang bercadang menggunakan visa Furada, namun langkah ini diambil demi keselamatan dan kesihatan semua," katanya.

Pada masa ini, kerajaan mengawal perjalanan ke luar negara untuk semua rakyat Malaysia berikutan wabak Covid-19 yang melanda dunia menyebabkan banyak sektor ekonomi dan perniagaan terkesan termasuk pengendali haji dan umrah.

Sehingga kini, kerajaan Arab Saudi belum mengeluarkan kata putus berkaitan visa untuk ibadat haji namun selain Malaysia, Indonesia antara negara yang sudah memutuskan untuk tidak menghantar rakyatnya menunaikan ibadat itu pada tahun ini dalam usaha mengawal penularan Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Jun 2020 @ 3:38 PM